SHAH ALAM - Kewujudan Akta Anti Lompat Parti yang bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, tidak lama lagi mampu memberi keadilan kepada semua terbabit termasuk parti politik, pengundi dan ahli Parlimen itu sendiri. Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kewujudan Akta Anti Lompat Parti yang bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, tidak lama lagi mampu memberi keadilan kepada semua terbabit termasuk parti politik, pengundi dan ahli Parlimen itu sendiri.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, biarpun banyak pihak beranggapan beliau tidak menyokong cadangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti kerana statusnya sebagai ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat namun hakikat sebenarnya adalah berbeza.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebaliknya menyokong penuh cadangan kewujudan RUU berkenaan kerana ia memberi keadilan kepada parti, pengundi dan ahli Parlimen Bebas sepertinya.

"Jika RUU baharu ini akan memberikan hak kepada ketiga-tiga pihak berkenaan maka saya sangat setuju kerana apabila seseorang ahli Parlimen dipecat atau keluar atau berhenti menjadi ahli parti, maka kita perlu diadakan pilihan raya semula," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan kuliah agama di rumahnya di Kuala Nerus, Terengganu dan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasminya, pada Jumaat.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau akan menyokong pembentangan RUU Anti Lompat Parti memandangkan beliau kini adalah ahli Parlimen bebas dan bakal menerima tempias jika undang-undang baharu berkenaan dikuatkuasakan kelak.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yakin usul RUU berkenaan akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen kerana undang-undang berkenaan memang sudah lama ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

"Saya membaca laporan akhbar yang mengatakan bahawa 90 ahli Parlimen PH akan menyokong, Pas pun menyokong, saya pun sokong dan UMNO akan menyokong. Jadi saya yakin usul RUU ini akan diluluskan di Dewan Rakyat nanti," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yakin kewujudan akta baharu berkenaan akan memberikan impak besar kepada landskap dan kestabilan politik negara, pada masa depan.

Menyentuh soal keluar Pas, Mohd Khairuddin sudah mengambil kira pelbagai aspek dan melakukan solat sunat Istiqarah sebelum membuat keputusan berkenaan.

"Jadi sekarang ini saya akan teruskan perjuangan dasar politik Islam dan tidak mungkin lekang dari diri saya. Perjuangan politik Islam dan mahu pastikan Islam tertegak di Malaysia serta rakyat mengamalkan agama Islam.

"Itu tetap menjadi prinsip perjuangan walaupun saya sudah tidak bersama dengan Pas. Saya juga ingin menegaskan bahawa wadah politik terbaik di Malaysia ialah Pas dan saya menyeru rakyat supaya terus menyokong dan bersama Pas," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca