Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April ini... Klik di sini untuk terus membaca

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April ini ditunda, maka bergegak-gempitalah dunia politik tanah air di mana banyak parti yang terkesan dengan tindakan bekas wakil rakyat mereka lompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti UMNO dan Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan pendirian terkini kerajaan itu.

Keputusan terbaru kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga menjadikan RUU Anti Lompat Parti ditangguhkan buat kali kedua selepas pertama kali dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.

Pada masa sama, keputusan penangguhan itu sebenarnya juga mengecewakan sebahagian besar rakyat negara ini yang cakna dengan keperluan pembentukan sebuah kerajaan stabil dan berintegriti.

Mat Taici difahamkan keputusan itu penangguhan kali kedua terpaksa dibuat susulan Kabinet bukan sahaja tidak mencapai kata sepakat dengan pelaksanaan RUU berkenaan, malah menuntut kajian mengenai definisi ‘lompat parti’ diperluaskan lagi.

Bagaimanapun, Wan Junaidi kemudiannya menjelaskan sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU tersebut dibentangkan pada masa hadapan.

Berikutan keputusan mengejutkan kerajaan, Majlis Presiden PH menuntut sidang khas kedua bagi meluluskan RUU berkenaan ditetapkan pada Isnin hadapan.

Gabungan pembangkang terbesar itu juga menggesa Wan Junaidi bertanggungjawab menyatakan dengan jelas di Parlimen, apakah prinsip asas undang-undang yang bakal dibentang dan diluluskan.

Memandangkan terma pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti merupakan sebahagian daripada syarat perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang melibatkan wakil kerajaan dan PH, kegagalan RUU itu diluluskan segera sudah pasti akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara dicapai ketika ini.

Bagi Mat Taici, persoalan mengenai keperluan RUU Anti Lompat Parti diluluskan sebelum pelaksanaan PRU15 bukan lagi berkisar soal kemandirian (survival) kerajaan Ismail Sabri untuk terus bertahan sekurang-kurangnya sehingga bulan Julai hadapan.

Namun, dari aspek kepentingan negara lebih besar, kewujudan RUU Anti Lompat Parti itu perlu disegerakan bagi mengelakkan negara sekali lagi berdepan episod kejatuhan kerajaan demi kerajaan dalam satu penggal yang kemudiannya mengheret rakyat ke dalam krisis sosioekonomi tidak berpenghujung.

Setelah rakyat negara ini menyedari pelantikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini sebenarnya langsung tidak membantu menyuburkan ekonomi negara yang semakin terjejas dek kesan pandemik Covid-19.

Mat Taici yakin sudah tiba masanya semua rakyat Malaysia mahukan barisan wakil rakyat dan kepimpinan negara yang berintegriti, telus, amanah dan tidak mengejar kepentingan peribadi untuk membawa Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi rantau Asia yang disegani sehingga digelar sebagai 'Harimau Asia' suatu ketika dahulu.

Negara tidak memerlukan pemimpin yang tidak berprinsip dan bersikap rakus dalam mencatur permainan elit politik bagi membolehkan mereka kekal berkuasa, tanpa mempedulikan nasib rakyat yang semakin menderita saban hari.

Bagi Mat Taici, segalanya bergantung kepada kemahuan politik kerajaan, barisan Kabinet dan 220 ahli Parlimen untuk menentukan sama ada pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti ini mampu diluluskan bagi memberi sinar baharu kepada amalan demokrasi negara atau sebaliknya.

Pemimpin politik juga diingatkan jangan saling menuding jari di antara satu sama lain sekiranya negara sekali lagi berdepan episod kejatuhan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton atau kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15, hanya disebabkan kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab hakiki.

Pss: Mat Taici berharap sangat kerajaan ditubuhkan selepas PRU15 bebas 'katak politik', pelompat parti.

Klik di sini untuk terus membaca