SHAH ALAM - Rakyat Malaysia terutama orang Melayu perlu terlebih dahulu memiliki kebanggaan terhadap bahasa Melayu sebelum boleh meyakinkan orang di negara luar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Pakar bahasa, Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia terutama orang Melayu perlu terlebih dahulu memiliki kebanggaan terhadap bahasa Melayu sebelum boleh meyakinkan orang di negara luar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara.

Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, ketika ini, ada sesetengah masyarakat Melayu yang dilihat lebih bermegah dengan bahasa asing berbanding bahasa ibunda mereka.

"Bagi saya (isu) yang paling besar sekali ialah orang Melayu sendiri tidak rasa bangga dengan bahasa ibunda mereka. Ada orang Melayu lebih bermegah dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Perancis dan sebagainya.

"Jadi, sebelum kita nak menjual bahasa kita ke luar negara memang patut ada usaha daripada kita sendiri mencintai dan menghormati bahasa kita agar bahasa kita dihormati oleh orang lain,” katanya semasa program Wacana Sinar yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Wacana Sinar Siri 336 bertajuk 'Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN‘ dikendalikan oleh Ismail Adnan turut menampilkan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong sebagai panelis.

Hadir sama sebagai panelis ialah Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Tutor Bahasa Melayu MC Plus, Zack Kirana.

Mengulas lanjut, Nik Safiah berkata, beliau berpendapat bahawa usaha untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu melalui sistem pendidikan negara dilihat belum begitu berkesan dan berjaya.

Malah katanya, pimpinan politik Melayu juga didapati tidak memainkan peranan penting untuk meletakkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang baik di dalam negara.

"Orang politik dalam kalangan parti Melayu kurang mementingkan bahasa dalam perjuangan. Bagi mereka soal bahasa dah selesai.

"Tapi bagi saya perjuangan untuk menjadikan bahasa Melayu benar-benar sebagai bahasa kebangsaan dan lambang kenegaraan kita masih belum selesai,” katanya.

Mengulas mengenai polemik yang timbul ekoran daripada usaha kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara kedua di ASEAN, Nik Safiah berkata, persoalan mengenai konsep bahasa perantara perlu lebih diutamakan berbanding pemilihan nama bahasa terbabit.

"Bagi saya persoalan (konsep) itu boleh dibincangkan dan dicari persetujuan yang boleh diterima oleh semua pihak. Jadi saya rasa tidak usah berbincang banyak tentang nama bahasa.

"Kita bercakap itu dari segi konsep, iaitu bahasa untuk rantau rantau ASEAN atau Asia Tenggara,” katanya yang turut menyatakan bahawa untuk sesebuah bahasa itu menjadi bahasa serantau, ia perlu boleh difahami oleh sejumlah besar penutur di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan bekas Profesor Pengajian Melayu Universiti Malaya berkata, jika dinilai dari segi keilmuan, bahasa Melayu sememangnya merupakan bahasa asal yang kemudiannya berkembang kepada pelbagai variasi ekoran daripada perubahan masyarakat dan politik.

Katanya, antara variasi tersebut ialah bahasa Melayu di Brunei, bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Melayu di Singapura dan bahasa Indonesia.

Klik di sini untuk terus membaca