SHAH ALAM - Malaysia perlu memperkasakan bahasa Melayu di dalam negara terlebih dahulu sebelum menyebar luas ke negara luar termasuk menjadikan bahasa kedua ASEAN..
Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, realitinya masih ada dalam kalangan warganegara yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
"Secara peribadi itulah pegangan saya (Malaysia perlu memperkasakan bahasa Melayu dalam negara) kerana perkara yang baik mengenai bahasa Melayu itu sepatutnya bermula di negara kita terlebih dahulu dengan memantapkan, memperkasakannya.
"Kalau kita lihat di Indonesia bukan sahaja rakyatnya fasih berbahasa negara malah mereka bangga, taat dan setia kepada bahasa itu tetapi malangnya di Malaysia ini masih ada lagi warganegara yang tidak boleh berbahasa Melayu dan bagi saya ini adalah sesuatu yang tidak kena.
"Jadi, kita harus selesaikan masalah di dalam negara kita terlebih dahulu sebelum kita menyebar luas ke tempat lain. Selagi di dalam negara kita bahasa ini tidak dihormati oleh anak watannya sendiri, saya kira agar sukar untuk orang luar menghormati bahasa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-336 bertajuk 'Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program yang berlangsung selama sejam itu turut menampilkan bekas Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Tutor Bahasa Melayu MC Plus, Zack Kirana, manakala Ismail Adnan bertindak sebgai moderator.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, Malaysia juga perlu bersikap terbuka untuk mengakui kita gagal dalam beberapa aspek pembentukan negara bangsa dan ia harus dibina semula.
Tambah beliau, pengenalan Pembelajaran dan Pengajian Sains dan Matematik (PPSMI) oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) antara penyebab kegagalan tersebut.
"Kita perlu mengakui kegagalan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan sedangkan bahasa itu mempunyai kuasa untuk menyatu padukan ummah.
"Jadi, kita perlu mengubah sikap di mana ia perlu dimulakan oleh orang Melayu sendiri iaitu penutur jati kepada bahasa Melayu, di mana mereka perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada bukan Melayu,” ujarnya.
Katanya, selama ini penduduk bukan Melayu tidak menerima bahasa Melayu dengan ikhlas sebaliknya mereka belajar bahasa itu atas dasar instrumental mematuhi syarat untuk lulus peperiksaan.
Klik di sini untuk terus membaca