SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh lagi bersikap ‘apologetik’ untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara semata-mata untuk mendapatkan ‘political mileage’. Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh lagi bersikap ‘apologetik’ untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara semata-mata untuk mendapatkan ‘political mileage’.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan sebaliknya perlu konsisten untuk memartabatkan bahasa itu sebagai satu dasar untuk menyatu padukan rakyat dan dalam masa sama memperkasakan bahasa negara.

Malah, dakwa Wan Ahmad Fayhsal, kabinet kerajaan terdahulu juga dilihat bersikap ‘flip flop’ yang mana pada awalnya menggunakan bahasa Melayu sebelum ubah kepada bahaya Malaysia.

"(Waktu itu) Kita terpaksa menukar nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sedangkan kita semua tahu ubah macam mana pun induknya tetap bahasa Melayu.

"Persuratan khazanah segala-galanya yang menjadi asas kepada pembentukan bahasa ini digunakan oleh para sarjana, para jurubahasa kita sebagai bahasa Melayu.

"Jadi, apabila kita mengubah dan kita tidak ada satu ketetapan (tetapi) atas dasar ilmu apa-apa pun kita kena balik kepada ilmu dahulu, politik nombor dua bagi saya dan dalam hal ini sebab (bagi) kalau kita cuba memutuskan akarnya masyarakat tidak akan menghormati apa yang kerajaan cuba buat,” katanya pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-336 bertajuk Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN yang di siar secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Wacana Sinar Harian Siri 336 bertajuk ‘Mampukah Bahasa Melayu Tawan Asean’ menampilkan (dari kiri) moderator, Ismail Adnan, Kok Seong dan Wan Ahmad Fayshal serta dua panel secara dalam talian, Dr Nik Safiah dan Zack Kirana yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Program yang berlangsung selama sejam itu turut menampilkan bekas Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong dan Tutor Bahasa Melayu MC Plus, Zack Kirana, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, sekolah vernakular juga perlu memantapkan pembelajaran bahasa Melayu dalam usaha untuk memperkukuhkan semula kedudukan bahasa itu sebagai bahasa negara.

Jelasnya, kehebatan Sasterawan dan Budayawan, Dr Lim Swee Tin mendeklamasi syair serta beberapa sasterawan bukan Melayu lain jelas memperlihatkan bahasa Melayu tidak sukar untuk digunakan dalam komunikasi harian.

"Saya tidak nampak apa rumitnya bahasa Melayu ini untuk bangsa lain gunakan dalam semua perkara termasuk berniaga, berkarya dan sebagainya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca