SHAH ALAM - Di sebalik usaha kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, namun kedudukan bahasa ibunda itu di dalam sistem pendidikan negara secara realitinya berada di tahap yang menyedihkan. Menurut guru... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik usaha kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, namun kedudukan bahasa ibunda itu di dalam sistem pendidikan negara secara realitinya berada di tahap yang menyedihkan.

Menurut guru bahasa Melayu, Zack Kirana, pengalamannya mengajar bahasa kebangsaan kepada kepada pelajar sekolah memperlihatkan bahawa tahap penguasaan berada di peringkat yang agak tidak memuaskan.

"Dua bulan lepas saya ada ajarkan kepada lebih kurang 1,800 pelajar secara dalam talian satu topik tentang kepupusan haiwan dan pengajaran tersebut melibatkan satu perkataan yang mudah iaitu ‘jerat’.

"Tetapi tiba-tiba saya dihujani pertanyaan daripada lebih kurang 20 ke 30 pelajar yang bertanyakan mengenai apa itu ‘jerat’. Situasi itu buatkan saya rasa nak menangis dan sedih sebab saya tengok nasib bahasa Melayu.

"Ayat yang yang paling mudah itu menyebabkan saya terusik. Ini maksudnya banyak lagi kosa kata bahasa Melayu yang mereka tidak tahu apatah lagi kalau kita bercakap tentang tatabahasa dan hukum bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar siri 336 bertajuk `Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN‘ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Hadir sama pada wacana yang diacarakan oleh Ismail Adnan ialah Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong; Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mengulas lanjut, Zack yang juga merupakan Tutor Bahasa Melayu MC Plus berkata, untuk menjawab pertanyaan pelajar tersebut, beliau terpaksa menggunakan bahasa Inggeris untuk menjelaskan mengenai makna perkataan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, dasar sistem pendidikan negara perlu dipertingkatkan bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di dalam negara.

Pada masa sama, Zack berkata, meskipun yakin bahasa Melayu mampu untuk bahasa kedua ASEAN, namun beliau mengakui bahawa usaha tersebut akan berhadapan dengan cabaran yang besar.

Klik di sini untuk terus membaca