"AWAK kena semak betul-betul. Tidak boleh menuduh sahaja,” kata Pak Din kepada Kasim ketika menunjukkan video seorang peniaga ayam kena saman.
"Penguat kuasa ini boleh tak bertimbang rasa sikit?” tanya Kasim.
"Awak kena semak atau siasat dahulu, kenapa disamannya peniaga ayam itu,” kata Pak Din tidak mengendahkan soalan Kasim.
"Katanya mengelirukan pembeli. Paparan harga lain, jualnya harga lain tapi kena pertimbangkan juga keadaan peniaga tersebut. Katanya harga daripada pembekal pun sudah RM8.70 dan disuruh jual RM8.90,” kata Kasim.
"Awak sudah baca berita penuh atau hanya melihat video itu sahaja?” tanya Pak Din.
"Saya hanya tengok video itu sahaja,” jawab Kasim.
"Awak ada baca penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)?” tanya Pak Din lagi.
"Tidak ada,” jawab Kasim.
"Awak kena baca dan siasat. Kena berfikir kritis sebelum terus membuat ulasan. Kadang-kadang kita tidak tahu hujung pangkalnya.
"Awak janganlah seperti membeli kerbau di padang. Kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya, baru boleh membuat kesimpulan tepat,” kata Pak Din.
Muka Kasim sudah merah padam menahan marah seperti bunga raya kembang pagi. Tidak disangka Pak Din sanggup menyindirnya begitu rupa. Dia hanya ingin mengajak berbual sambil berkongsi video yang tular sahaja.
Pak Din tanpa belas kasihan terus berkata: "Kalau diikutkan video itu, memang tidak patut disaman peniaga tersebut. Kasihan, disamannya RM500 tetapi untung jual ayam hanya 20 sen sahaja.”
"Awak rasa betul ke dia untung 20 sen? Penguat kuasa minta peniaga buktikan harga pemborong dan pembekal tetapi katanya dia gagal tunjukkan bukti. Awak rasa memang dia beli dengan harga RM8.70?”
"Mana awak tahu dia tidak dapat harga RM8.70?” tanya Kasim cuba memberi tekanan kepada Pak Din.
"Saya tidak tahu cuma saya hanya terfikir sahaja. Saya pun bersimpati tetapi pada masa sama kita hendaklah menjadi rakyat bertanggungjawab supaya kartel yang suka menaikkan harga barang dibanteras,” kata Pak Din.
Kasim hanya angguk-angguk sahaja.
"Saya tertanya-tanya ketika melihat video tersebut. Peniaga itu senang sahaja terus membayar denda. Dia tidak mahu minta kurangkan denda atau buat rayuan ke? Satu perkara lagi, kenapa peniaga itu tidak tunjukkan bukti pembekal yang sebenarnya meletakkan harga tinggi menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga?”
"Kalau ada bukti itu, saya rasa penguat kuasa mungkin boleh bertimbang rasa dan mengambil tindakan kepada pembekal atau pemborong dan seterusnya mereka yang terlibat dalam rantaian kartel ini. Apa pendapat awak?” tanya Pak Din.
"Saya tidak tahu. Perasaan saya hanya sedih melihat peniaga seolah-olah ditindas tetapi pendapat awak ada betul juga. Sepatutnya kita kena banteras daripada punca rantaian itu sendiri,” jawab Kasim.
"Begitulah sepatutnya. Mungkin rakyat termasuk peniaga perlu membantu kerajaan membanteras masalah ini. Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting mencari solusi kepada masalah kenaikan harga barang.
"Sekarang gaji belum naik kepada RM1,500 lagi, harga barang sudah naik. Bak kata pepatah, sirih naik, junjungan patah. Memang sebelum itu pun begitu.
"Bukan disebabkan kenaikan gaji semata-mata. Dua tahun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun, asal tiba sahaja hari raya, isu harga barang naik akan berkumandang seperti lagu raya. Betul tak Kasim?”
"Betul tu,” jawab Kasim.
"Awak tak apalah, penjawat awam. Dapat bonus raya RM500. Meriahlah raya awak nanti. Kami ini orang-orang yang tidak tetap pendapatan beraya dengan apa yang ada sahaja,” kata Pak Din.
Sekali lagi muka Kasim merah padam.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.
Klik di sini untuk terus membaca