MUTAKHIR ini perkataan debat kembali popular (trending). Ia selepas ‘perang maya’ antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di media sosial berhubung isu Sapura Energy berlanjutan... Klik di sini untuk terus membaca

MUTAKHIR ini perkataan debat kembali popular (trending). Ia selepas ‘perang maya’ antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di media sosial berhubung isu Sapura Energy berlanjutan cabar mencabar sehingga membawa untuk berdebat.

Apabila Najib meletakkan syarat supaya Rafizi membawa sama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam debat itu dan dipersetujui pula oleh Anwar, ia semakin menarik. Mengapa menarik? Sebab kesediaan Najib berdebat kali ini berbeza dengan tindakannya pada 2012.

Waktu itu yang mengajak debat ialah Anwar. Sayangnya Najib mengelak dengan alasan debat bukan budaya kita. Kali ini terbalik. Yang mengajak ialah Najib dan Anwar menyahutnya. Cuma kita kena puji Najib amat berani sebab kalau jadi debat, ia bukan satu lawan satu tapi dua lawan satu. Bukan calang-calang orang yang sanggup berdebat sebegitu.

Menyaksikan debat antara tiga tokoh besar politik negara sudah tentu mengujakan. Kalau jadi, ia sangat bagus dan bersejarah. Mungkin ini pertama kali kita melihat Najib berdebat secara terbuka. Maklumlah semasa beliau menjadi Perdana Menteri, masanya agak sempit. Jika Rafizi dan Anwar berdebat, mungkin kita sudah biasa lihat. Apa pun, sehingga kini masih belum ada keputusan.

Cuma dalam keterujaan menunggu debat itu, semua harus faham apa itu debat dan hukum hakamnya. Risau emosi, taksub, fanatisme dan egosentrik melampau penonton yang mengikuti debat itu akan menghilangkan objektiviti sesebuah perdebatan. Akhirnya debat yang sepatutnya mematangkan dan memerdekakan fikiran menjadi sebaliknya.

Ahli sejarah dan wartawan Amerika Syarikat (AS), Jill Lepore dalam pojoknya di majalah The New Yorker tahun 2016 mengkonsepsikan berdebat sama macam mengundi. Menurutnya berdebat adalah cara untuk orang yang tidak bersetuju memukul pihak lain tanpa memukul atau bertumbuk antara satu sama lain.

Berdebat menurut Lepore lagi adalah kunci kepada setiap institusi yang membolehkan kehidupan sivik bernegara berfungsi dengan baik kerana tanpa perdebatan, tidak mungkin wujud pemerintahan sendiri yang benar-benar bebas daripada sebarang intervensi.

Maka, perdebatan wajib menjadi wadah menyampaikan fakta sebenar, idea konstruktif dan kaedah terbaik yang difikirkan pendebat dan ia dapat dikongsi serta didengar masyarakat.

Dengan hal tersebutlah debat dijadikan budaya kerana ia jelas membantu masyarakat memahami keadaan sebenar, sekali gus mematangkan dan memerdekakan mereka dalam membuat keputusan.

Justeru, debat sepatutnya menjadi medan pertukaran pendapat. Yang dicari adalah titik pertemuan, bukannya titik pertembungan. Di sinilah masalah timbul apabila debat gagal dibudayakan. Hairan juga apabila debat disuburkan di peringkat awalan – sekolah dan pengajian tinggi. Jelas budaya debat bukanlah asing, namun apabila naik ke peringkat tertinggi, tiba-tiba debat dimandulkan.

Dua masalah ini dikenal pasti penyumbang kepada hal itu. Pertama, orang politik sendiri menjadikan debat wadah pembunuhan karakter yang penuh dengan sentimen emosi. Akhirnya debat mereka tidak benar-benar menguji sejauh mana pemahaman pendebat tentang isu dan fakta terkait dengan tema perdebatan.

Kedua, sikap orang politik sendiri ketika berdebat. Mereka bukan sahaja gagal berdebat secara spontan, malah tidak fokus, substantif dan sistematik dalam penyampaian. Akhirnya sesi debat jadi meleret, retorik dan memualkan.

Kalau ia berterusan berlaku, maka pembudayaan debat politik bolehlah dianggap sekadar impian dan angan-angan.

Bagaimana mahu mengangkat debat menjadi budaya? Pertama, membudaya dan meraikan perbezaan pendapat sebagai sesuatu yang sihat dan produktif.

Kedua, menganggap debat ruang untuk mewujudkan budaya terbuka kepada pelbagai cadangan dan pendapat tanpa prejudis. Ketiga, sentiasa mengingatkan diri dan parti bahawa berbeza pandangan tidak bersifat peribadi kerana yang didebatkan adalah isu, bukan individu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca