KETIBAAN bulan Ramadan sebagaimana kebiasaan, turut memberikan kelegaan kepada jadual yang sangat padat semenjak kita memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19. Beberapa minggu terakhir ini menyaksikan mesyuarat yang padat, memenuhi... Klik di sini untuk terus membaca

KETIBAAN bulan Ramadan sebagaimana kebiasaan, turut memberikan kelegaan kepada jadual yang sangat padat semenjak kita memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19. Beberapa minggu terakhir ini menyaksikan mesyuarat yang padat, memenuhi komitmen perjalanan dan meraikan majlis perkahwinan tertangguh dengan sangat meriah.

Keseluruhannya, permulaan bulan suci pada tahun 1443 Hijrah ini seakan-akan menyerupai pengalaman pra-Covid-19 pada tahun 2019 (1440H). Pada tahun 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghalang semua tradisi kebiasaan dilakukan, manakala pada tahun 2021, amalan kebiasaan berbuka puasa di masjid yang berbeza sepanjang Ramadan masih tidak dapat dilakukan. Malah, malam ke-20 Ramadan (yang selalunya diberikan perhatian khusus) diingati kerana menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

Tahun ini, lebih banyak tradisi pra-Covid-19 kembali dilakukan sebagai aktiviti bulan Ramadan: paling ketara adalah sembahyang tarawih bersama masyarakat di sekitar Luak Tanah Mengandung (kawasan Negeri Sembilan di sekitar bandar diraja Seri Menanti di bawah kekuasaan Penghulu-Penghulu yang bertanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Besar, bukan Undang atau Tunku Besar Tampin). Ramai yang berharap agar rumah terbuka akan kembali diadakan pada tahun ini.

Melalui pelbagai cara, legasi diraja berterusan memaklumkan cara Muslim di Malaysia menjalankan tradisi agama mereka. Manifestasi yang paling ketara berkemungkinan adalah pengumuman tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam di televisyen oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tetapi sejarahnya bermula lebih lama. Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1898 antara Yang di-Pertuan Besar (ketika itu Tuanku Muhammad Shah ibni Yamtuan Antah) dan empat orang Undang yang telah mengembalikan semula ‘perlembagaan adat Negeri Sembilan’ memperuntukkan satu klausa untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha juga disambut mengikut adat sebelumnya.

PROTOKOL

Permulaan Ramadan pada tahun ini jatuh pada ulang tahun kemangkatan Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad Shah, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kelapan, juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Malaya (juga wajah yang menghiasi wang kertas negara kita).

Mengimbas kembali rekod sejarah dan mendengar saudara mara yang menyaksikan peristiwa tersebut menceritakan kembali kenangan mereka, jelas bahawa protokol baharu perlu ditetapkan secepat mungkin, kerana negara tidak mempunyai duluan untuk kemangkatan seorang pemerintah Persekutuan: lalu memberikan pelbagai perincian yang menarik seperti bendera kebangsaan (ketika itu belum dikenali sebagai Jalur Gemilang dan hanya mempunyai 11 jalur) yang dibalut dengan panji-panji diraja Yang di-Pertuan Agong digantikan dengan bendera Negeri Sembilan dan panji Yang di-Pertuan Besar setelah ketibaan keranda Almarhum di stesen kereta api Seremban, sebagai perlambangan bahawa kerajaan Persekutuan ‘memulangkan semula’ Almarhum Yang di-Pertuan Agong kepada negeri pemerintahannya.

Gambar dan laporan berita menunjukkan bahawa negara bersatu padu dalam berkabung untuk seorang raja yang telah menggabungkan adat tradisi lama dengan kefahaman moden demokrasi berparlimen dengan berkesan. Hal ini terutamanya disebabkan latihan undang-undang yang diterima baginda di Inner Temple di London dan seterusnya pengalaman profesional di dalam kedua-dua bidang perundangan serta perkhidmatan awam.

Dalam titah ucapan baginda sempena pembukaan Parlimen Malaya pada tahun 1959, Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah menggesa para ahli Parlimen untuk "membuat pertimbangan sebagai penggubal undang-undang dengan semangat tertinggi untuk berkhidmat kepada negara”, bahawa "kalian adalah wakil kepada semua rakyat tanpa pengecualian”, dan "masa hadapan Parlimen ini akan diikuti dengan penuh minat dan rasa muhibah.”

AKTA

Pada minggu hadapan, satu sidang Parlimen khas akan diadakan untuk meluluskan akta Anti Lompat Parti (menerusi satu pindaan Perlembagaan Persekutuan). Terdapat keinginan luar biasa untuk menghalang amalan melompat parti yang telah merosakkan demokrasi negara kita. Namun, perincian akta ini amat penting. Sebagai contoh, sangat tidak ideal jika pemecatan seorang ahli Parlimen dari partinya secara automatik akan mencetuskan sebuah pilihan raya kecil: hal ini akan memberikan kuasa yang lebih besar kepada pemimpin parti yang sudah pun mempunyai kuasa ke atas ahli Parlimen biasa parti mereka.

Sebaliknya, mendemokrasikan pemilihan parti merupakan satu perkara yang lebih baik. Namun, kita tidak harus menolak akta ini secara keseluruhan, dikhuatiri nak menangguk ikan, tertangguk batang: undang-undang yang tidak sempurna boleh ditambah baik pada kemudian hari, terutamanya jika budaya jawatankuasa pilihan aktif mampu mencapai kematangan.

Memorandum Persefahaman yang telah membawa kepada cadangan pembentangan akta ini dan pembaharuan penting lain bermula dengan dua perenggan yang menjunjung titah diraja untuk bersikap dwipartisan dan kestabilan pentadbiran. Dalam waktu ketidaktentuan politik dan ketidakstabilan yang berpotensi, Raja-Raja Melayu telah membenarkan pembaharuan berlaku untuk memperkasakan institusi yang mewakili Rakyat.

Jauh daripada tanggapan feudalisme yang polos sejarah (satu misnomer kerana feudalisme adalah fenomena di Eropah), saya berbangga kerana Tuanku Muhammad dan Tuanku Abdul Rahman memperjuangkan penubuhan institusi pendidikan, ketenteraan, sukan, dan kebajikan yang ‘melindungi’ rakyat melalui pemerkasaan dan pencerahan berbanding ketakutan dan xenofobia.

Pembaharuan institusi yang berterusan adalah pengganti tradisi ini yang selayaknya.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca