SHAH ALAM - Usaha bagi mendapatkan sokongan khususnya kalangan ahli politik bagi menjayakan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik tetap diteruskan walaupun ia bukanlah tugas yang mudah.
Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak berkata, gerak kerja ke arah itu sudah dimulakan dan pihaknya telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 28 Oktober tahun lalu tentang cadangan pembentukan kumpulan pemikir berkenaan.
Katanya, beliau turut berjumpa dengan ramai kalangan pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan dan tokoh-tokoh yang berkaitan.
"Ini adalah projek yang akan memakan masa lama sebab melalui inisiatif ini, kita nak tubuh satu kumpulan dipanggil himpunan masyarakat atau majlis rakyat.
"Kumpulan ini akan berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun dan membentangkan syor tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi negara harus berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.
"Penting untuk kita dapatkan sokongan, bukan sahaja daripada pihak istana tetapi ahli politik dan ahli Parlimen. Tanggungjawab saya ialah berjumpa mereka dan beritahu kenapa pentingnya kita buat inisiatif ini. Insya-ALLAH, kalau kita dapat sokongan yang luas, barulah kita boleh buat himpunan ini,” katanya.
Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik diusahakan oleh Mohamed Nazir bersama 54 orang lagi tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea-idea dan syor ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.
Tambah Mohamed Nazir, himpunan sebegini bukanlah perkara baharu dan dianggarkan 600 himpunan kumpulan pemikir seperti ini ada di serata dunia.
Klik di sini untuk terus membaca