KEGANASAN rumah tangga dikaitkan dengan perlakuan terhadap pasangan melibatkan penderaan secara fizikal, seksual, psikologi atau sosial. Keganasan rumah tangga membabitkan perbuatan penganiayaan suami terhadap isteri atau anak-anak.... Klik di sini untuk terus membaca

KEGANASAN rumah tangga dikaitkan dengan perlakuan terhadap pasangan melibatkan penderaan secara fizikal, seksual, psikologi atau sosial.

Keganasan rumah tangga membabitkan perbuatan penganiayaan suami terhadap isteri atau anak-anak.

Peningkatan kes keganasan rumah tangga perlu dipandang serius kerana ia mengancam keharmonian institusi kekeluargaan dan masyarakat.

Kehilangan pekerjaan, pengangguran dan masalah kewangan yang dihadapi akibat penularan Covid-19 antara faktor menyebabkan peningkatan kes keganasan rumah tangga.

Pengarah Perkhidmatan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Charlene Murray berkata, punca keganasan rumah tangga, antaranya adalah kerana ketidaksaksamaan kuasa pasangan suami isteri apabila wanita sering kali dianggap gender yang lemah serta perlu mengikut kehendak lelaki.

Charlene mendedahkan, pihaknya mencatat peningkatan panggilan aduan bagi kes keganasan rumah tangga sejak tahun lalu.

Charlene Murray (berdiri, kiri) bersama rakan-rakan yang berkhidmat dalam WAO.

"Pada tahun lalu, WAO menerima sebanyak 1,389 aduan melalui panggilan hotline dan 1,554 aduan melalui WhatsApp berkaitan kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Menurutnya, WAO menerima sebanyak 100 hingga 200 panggilan dalam tempoh sebulan mengenai aduan berkaitan keganasan rumah tangga sebelum pelaksanaan PKP pada tahun 2020.

"Dalam tempoh empat bulan pada tahun ini, kita menerima 300 hingga 400 panggilan daripada golongan wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga,” ujarnya.

Beliau berkata, mangsa keganasan akan menghubungi talian hotline WAO atau WhatsApp Think I Need Aid (TINA) yang beroperasi 24 jam untuk mendapatkan bantuan.

"Kita ada sistem triage yang dikendalikan oleh sukarelawan berpengalaman untuk membantu mangsa terlibat," kata beliau.

Kanak-kanak akan mengalami tekanan emosi apabila berlaku kes keganasan rumah tangga.

WANITA DIKURUNG SUAMI

Charlene yang sudah berkhidmat dengan WAO sejak lima tahun lalu berkata, majoriti kes beliau kendalikan ialah mangsa yang mahu keluar daripada keadaan keganasan rumah tangga.

"Ada antara mangsa menyelamatkan diri dengan membawa bersama anaknya yang masih bayi,” katanya.

Beliau turut mengimbau satu kes keganasan rumah tangga membabitkan seorang wanita mendakwa telah didera oleh suaminya ketika PKP lalu.

"Wanita itu dikurung ketika suaminya keluar ke tempat kerja. Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan terjun dari tingkap di tingkat satu sebuah pangsapuri.

"Mangsa mengalami patah kaki dan kemudian menghubungi WAO untuk meminta bantuan,” katanya.

Charlene berkata, satu lagi kes keganasan rumah tangga membabitkan seorang wanita yang meminta bantuan doktor di sebuah hospital menghubungi WAO untuk tindakan lanjut.

"Suaminya mendakwa muka wanita itu cedera akibat kemalangan motosikal. Siasatan lanjut mendapati tulang rahang wanita berkenaan patah disyaki akibat ditumbuk oleh suaminya,” katanya.

Beliau berkata, keganasan rumah tangga boleh mengakibatkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan murung.

"Sekiranya mangsa tidak menyelamatkan diri, kesan psikologi kepada mangsa akan berlaku sehingga boleh menyebabkan mereka tidak yakin pada diri sendiri,” ujar beliau.

Ibu dan anak seringkali menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

MANGSA TAKUT BUAT LAPORAN

Charlene yang juga seorang aktivis sejak 17 tahun lalu berkata, tahap kesedaran mengenai isu keganasan rumah tangga dalam komuniti di negara ini masih rendah.

"Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga tidak mahu melaporkan kejadian yang berlaku kerana risau keselamatan anak-anak mereka. Anak mereka mungkin akan menjadi mangsa pula sekiranya dia membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, ada sebahagian mangsa keganasan rumah tangga menemui jalan buntu untuk mendapatkan sokongan.

"Mereka juga tidak mendapat sumber maklumat dan saluran yang tepat bagi meluahkan perasaan atau mendapatkan khidmat bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau, apa yang perlu dilakukan wanita apabila menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Jika risaukan keselamatan diri atau ahli keluarga yang lain, maklumkan kepada WAO untuk mendapatkan bantuan,” katanya lagi.

Wanita dan kanak-kanak turut ditempatkan di rumah perlindungan WAO.

RUMAH PERLINDUNGAN

Charlene berkata, WAO ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak wanita dan secara khusus terhadap keganasan terhadap wanita.

"Kita menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk mangsa keganasan rumah tangga serta wanita yang menjadi mangsa serangan seksual di tempat kerja,” jelas beliau.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut antaranya bagi pengendalian kes terhadap mangsa yang memerlukan pertolongan serta informasi untuk tindakan lanjut.

"WAO yang ditubuhkan pada tahun 1983 memainkan peranan utama dalam usaha memperjuangkan hak wanita, selain penglibatan dalam bidang advokasi dan pendidikan awam,” jelasnya.

Menurut beliau, WAO turut mempunyai sebuah rumah perlindungan di Selangor untuk membantu golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Rumah perlindungan ini menyediakan tempat selamat untuk wanita yang didera dan anak-anak mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada keganasan rumah tangga,” katanya.

Katanya, WAO mempunyai pekerja-pekerja sosial yang profesional untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa termasuk mengendalikan sesi kaunseling secara individu dan berkumpulan.

"Secara purata, lebih daripada 100 wanita dan anak-anak mereka menggunakan perkhidmatan Rumah Perlindungan WAO,” katanya.

Menurut beliau, WAO turut memberi khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga.

"Kos perkhidmatan kaunseling tinggi, namun WAO dapat mencari dana daripada individu bermurah hati untuk menampung kos pakar terapi yang bertauliah,” katanya.

PROGRAM KEMAHIRAN

WAO juga menyediakan pelbagai program untuk membantu golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, antaranya kursus kemahiran membuat kek dan menjahit pakaian.

"Ia memberi peluang kepada golongan wanita tersebut untuk menjana pendapatan yang lebih stabil,” kata Charlene.

Beliau berkata, wanita yang berjaya dalam menjana pendapatan dengan menjadi seorang ahli perniagaan itu pula akan membantu individu lain.

"Wanita tersebut akan berkongsi pengalaman dan kejayaan untuk membantu individu lain bangkit semula,” katanya.

INFO

Keganasan rumah tangga terbahagi kepada beberapa bentuk, antaranya:

1. Keganasan berbentuk fizikal

Mangsa diserang dipukul, ditumbuk, ditampar, ditendang, dicederakan dengan menggunakan senjata adalah contoh yang jelas keganasan yang berlaku.

2. Keganasan berbentuk psikologi dan emosi

Ugutan, hinaan, makian, menjatuhkan maruah adalah keganasan yang boleh memberikan dan meninggalkan kesan yang sama seperti keganasan berbentuk fizikal.

Keganasan ini memberikan kesan lebih mendalam dan membahayakan kesihatan emosi dari sudut pemikiran yang positif, sehingga mangsa tidak mampu untuk berfikir sendiri demi menjalankan kehidupan.

Klik di sini untuk terus membaca