RAMALLAH - Setiap kali Ramadan, Masjid al-Aqsa terletak di Baitulmaqdis Timur, di Tebing Barat seolah-olah menerima skrip sama apabila penduduk Palestin yang berkumpul di kawasan berkenaan sama ada untuk tujuan berbuka puasa atau bertarawih diserang oleh polis Israel.
Situasi tegang di tapak ketiga paling suci buat umat Islam itu ternyata mencemari bulan suci Ramadan.
Konflik yang sudah dijangka itu berlaku sejak malam pertama Ramadan apabila tindakan provokasi dilakukan rejim Zionis mengundang tindak balas rakyat Palestin.
Ketegangan dan konfrontasi bermula selepas polis Israel meningkatkan kehadiran pasukannya secara besar-besaran di kawasan tersebut serta meletakkan penghadang di Pintu Damsyik iaitu salah satu pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis yang diduduki.
Pada malam kedua berturut-turut pula, polis Israel melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan pegun di hadapan Pintu Damsyik ketika rakyat Palestin berkumpul selepas menunaikan solat tarawih.
Kekecohan yang tercetus pada malam tersebut menyaksikan seramai 13 rakyat Palestin ditahan, manakala lebih 20 yang lain cedera sama ada terhidu gas pemedih mata atau dipukul bertalu-talu polis rejim Zionis.
Tidak lama selepas itu, Israel pada Selasa mengumumkan pula larangan solat Jumaat sepanjang Ramadan ke atas lelaki Palestin berusia 12 hingga 40 tahun.
Sebaliknya, hanya wanita Palestin, kanak-kanak dan lelaki berumur 50 tahun ke atas dibenarkan memasuki masjid berkenaan sekiranya mahu menunaikan solat.
Pengumuman itu menambah lagi api kemarahan rakyat Palestin kerana rejim Zionis secara rutin membenarkan aktivis dan peneroka haram Yahudi berarak masuk ke pekarangan al-Aqsa di bawah perlindungan polis serta tentera Israel.
Tindak tanduk Israel mengundang reaksi kurang senang Gerakan Hamas yang berikrar tidak akan berdiam diri sekiranya kekerasan dan penindasan rakyat Palestin sepanjang Ramadan berterusan.
Malah, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata, serangan polis Israel menimbulkan risiko keselamatan dan kestabilan di Tebing Barat.
Pada Ramadan tahun lalu, pertempuran tercetus antara penduduk Palestin dan rejim Zionis yang melakukan tindakan provokasi di pekarangan Masjid al-Aqsa.
Insiden tersebut telah mencetuskan konflik yang berlarutan selama 11 hari antara Israel dan Hamas serta meragut sekurang-kurangnya 243 nyawa di Genting Gaza. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca