SHAH ALAM - Rakyat Malaysia teruja untuk meraikan Aidilfitri di kampung pada tahun ini selepas dua tahun terpaksa beraya di ibu kota akibat kekangan Covid-19. Di sebalik kegembiraan itu, rakyat terpaksa berbelanja lebih untuk empat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia teruja untuk meraikan Aidilfitri di kampung pada tahun ini selepas dua tahun terpaksa beraya di ibu kota akibat kekangan Covid-19.

Di sebalik kegembiraan itu, rakyat terpaksa berbelanja lebih untuk empat keperluan utama iaitu pembelian baju raya, pemberian duit raya, perjalanan pulang ke kampung dan penyediaan juadah raya susulan peningkatan harga barang ketika ini.

Bagi yang sudah berkeluarga dan memiliki seorang hingga empat anak, kos perbelanjaan tersebut dianggarkan antara RM1,500 hingga RM4,500 manakala untuk individu bujang sekitar RM1,200 seorang.

Beberapa individu yang ditemui Sinar Harian menjelaskan bahawa perbelanjaan paling tinggi adalah kos perjalanan pulang ke kampung dan penyediaan juadah raya.

Seorang guru, Hasma Mat Zin, 37, berkata, perbelanjaan untuk pulang ke kampungnya di Kuantan Pahang pada Aidilfitri kali ini dijangka memerlukan kos sekitar RM2,000 termasuk untuk servis kenderaan.

"Bila dah sampai kampung pun ada kos perjalanan juga untuk aktiviti ziarah sebab kita balik pun dua hingga tiga hari,” katanya yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak.

Hasma berkata, perbelanjaan keseluruhan untuk baju raya keluarganya dianggarkan RM1,200 dengan mengambil kira peningkatan harga barang ketika ini.

Sementara itu, seorang jurutera, Wan Mohd Eibbadillah Wan Mohd Abdillah, 35, memperuntukkan RM2,400 untuk tiket penerbangan pergi balik ke kampung isterinya di Lahad Datu Sabah pada perayaan kali ini.

"Rancangan memang nak balik Sabah, tapi tiket sekarang mahal. Saya sedia perbelanjaan maksimum satu tiket penerbangan adalah RM800. Kalau harga terus tinggi, mungkin saya hanya akan balik ke kampung saya di Kuala Terengganu,” ujarnya yang memiliki seorang anak.

Katanya, perbelanjaan perayaan tahun ini termasuk untuk penyediaan juadah raya sememangnya lebih tinggi berbanding dua tahun lepas.

Dalam pada itu, seorang eksekutif kanan, Elyna Rahmat, 30, berkata, dia akan mengeluarkan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk penyediaan juadah raya kali ini memandangkan aktiviti ziarah kini sudah kembali dibenarkan.

"Kita memang jangka orang akan datang ke rumah sepanjang musim perayaan ini. Selain itu, Dengan kebenaran ziarah ini juga, keluarga akan keluarkan belanja untuk beli lebih baju raya,” katanya yang sudah berkeluarga dan memiliki dua orang anak.

Elyna berkata, dia turut merancang untuk pulang ke kampungnya di Segamat Johor pada hari raya pertama bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya yang lazimnya berlaku beberapa hari sebelum hari raya.

Sementara itu, seorang peguam, Izzat Amir Zulkefli, 25, berkata, sebahagian besar belanja kali ini untuk penyediaan juadah raya di kampungnya di Tanah Merah, Kelantan.

"Juadah raya itu saya peruntukkan RM350 untuk beli kuih, rendang dan lemang. Keluarga saya dari Shah Alam dan Melaka semua akan pulang ke kampung untuk makan-makan,” katanya yang masih bujang.

Pada masa sama, seorang peniaga, Muhammad Zulfadhli Muhammad Ismail, 39, berkata, antara perbelanjaan utamanya pada perayaan kali ini adalah untuk menyediakan baju raya buat isteri dan enam orang anaknya.

"Untuk itu saya sediakan sekitar RM3,000. Perbelanjaan utama yang lain adalah kos perjalanan termasuk servis kenderaan. Ini kerana sekarang kita dah boleh ziarah ke rumah saudara mara,” katanya yang akan pulang ke kampungnya di Kapar, Selangor.

Dalam pada itu, seorang guru di Putrajaya, Muhammad Shahrol Harun, 24, berkata, memandangkan ini merupakan tahun pertamanya bekerja, dia akan memperuntukkan sebahagian besar gajinya bagi penyediaan duit raya kepada lapan orang anak saudaranya.

Shahrol berkata, perbelanjaan utama lain yang diperuntukkan adalah kos perjalanan pulang ke kampung termasuk servis kenderaan sekitar RM280 dan pembelian baju raya sebanyak RM200.

Klik di sini untuk terus membaca