SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan membuat perbandingan bagi mendapatkan harga yang terbaik sebelum berbelanja untuk persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan membuat perbandingan bagi mendapatkan harga yang terbaik sebelum berbelanja untuk persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi, rakyat seharusnya mencari kedai yang menawarkan harga yang rendah dan sesuai dengan kemampuan pendapatan mereka.

"Sekarang ini lebih mudah, orang ramai boleh membeli secara dalam talian dan buat perbandingan harga kedai mana yang boleh menawarkan harga terbaik.

"Cuma kena berhati-hati dan beringat kerana membeli-belah dalam talian boleh menjurus kita ke arah tabiat berbelanja untuk memenuhi kehendak diri, sedangkan kita harus berbelanja berdasarkan kemampuan.

"Buat semakan harga secara efisien untuk dapatkan harga terbaik berdasarkan kemampuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Orang awam membeli belah pada Festival Ramadan Putrajaya 2022 ini semasa tinjauan Bernama. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, memandangkan sudah dua tahun rakyat Malaysia tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan pandemik Covid-19, pastinya peruntukan perbelanjaan akan berbeza dari tahun- tahun sebelumnya.

Justeru, katanya, setiap keluarga atau individu perlu menyediakan satu bentuk pengurusan kewangan yang efektif untuk membuat persediaan menyambut perayaan.

"Mungkin sebab sudah dua tahun tidak beraya, jadi kita kena buat semula anggaran berapa jumlah yang biasanya digunakan untuk menyambut hari raya termasuk perbelanjaan balik kampung dan kos penyelenggaraan kenderaan terutamanya bagi perjalanan jauh.

"Bagaimanapun, sebenarnya kita patut mula menyimpan peruntukan kewangan hari raya bermula enam bulan sebelum perayaan.

"Jika tidak, ia akan menyebabkan kita berbelanja berdasarkan gaji bulanan, sekali gus menjejaskan perbelanjaan bulanan hingga ada yang terpaksa meminjam daripada orang lain.

"Sebab itu, kalau kita mempunyai pendapatan yang cukup-cukup makan, kita sepatutnya berbelanja berdasarkan kepada kemampuan sendiri. Bersederhana, tidak boleh terlalu bermewah kerana ia boleh menjejaskan perbelanjaan kita,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca