PENGELUAR-pengeluar senjata Amerika Syarikat (AS) tidak mendapat keuntungan secara langsung daripada penghantaran ribuan peluru berpandu, dron dan senjata-senjata lain yang dihantar ke Ukraine yang menghadapi serangan dari Rusia sejak 24... Klik di sini untuk terus membaca

PENGELUAR-pengeluar senjata Amerika Syarikat (AS) tidak mendapat keuntungan secara langsung daripada penghantaran ribuan peluru berpandu, dron dan senjata-senjata lain yang dihantar ke Ukraine yang menghadapi serangan dari Rusia sejak 24 Februari lalu.

Namun, syarikat-syarikat itu dijangka mendapat keuntungan besar dalam tempoh jangka masa panjang dengan membekalkan senjata-senjata kepada negara-negara yang ingin meningkatkan pertahanan masing-masing bagi menghadapi ancaman dari Rusia.

Seperti negara-negara Barat yang lain, AS telah menggunakan stok peralatan senjatanya sendiri untuk membekalkannya kepada Ukraine dengan peluru berpandu-peluru berpandu Stinger dan Javelin yang ditembak dari atas bahu untuk menuju ke sasarannya.

Senjata-senjata buatan Lockheed Martin dan Raytheon technologies itu sebenarnya telah dibayar terlebih dahulu oleh AS.

Sehubungan itu, syarikat- syarikat tersebut tidak sepatutnya tergesa-gesa untuk membekalkan senjata keluaran masing-masing kepada Ukraine untuk memerangi pencerobohan Rusia.

Bagaimanapun, stok senjata ketenteraan AS yang pastinya akan berkurangan kerana ia telah dihantar kepada Ukraine dan perlu diganti semula .

Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon merancang untuk menggunakan sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.78 bilion) yang diperuntukkan untuk membeli semula peralatan perangnya.

Ini adalah disebabkan stok senjatanya berkurangan kerana ia dihantar ke Ukraine.

Peruntukan sebanyak AS$3.5 bilion itu sudah diluluskan dalam rang undang-undang perbelanjaan yang disetujui pada pertengahan Mac lalu, kata seorang jurucakap Jabatan Pertahanan kepada AFP.

Peluru berpandu Javelin yang anti-kereta kebal dibuat menerusi usaha sama antara syarikat Lockheed dengan Raytheon.

Amerika Syarikat menghantar peluru berpandu Javelin yang anti-kereta kebal ke Ukraine baru-baru ini. - Foto AFP

Bagaimanapun, peluru berpandu anti-pesawat Stinger telah dihentikan pengeluarannya oleh syarikat Raytheon Missiles & Defense.

Namun, Pentagon telah memesannya semula pada musim panas lalu dengan berbelanja sebanyak AS$340 juta (RM1.4 bilion).

"Kami sedang mencari pilihan untuk mengisi inventori AS dengan lebih cepat dan mengisi semula stok sekutu dan rakan kongsi yang lain. Ia akan memakan masa untuk menghidupkan kembali pangkalan industri iaitu kepada para pembekal utama dan pembekal pihak ketiga bagi membolehkan pengeluaran disambung semula," tambah jurucakap berkenaan.

Keuntungan yang diperoleh oleh syarikat-syarikat pengeluar peluru berpandu yang terkenal kerana ia mudah digunakan itu tidak mengejutkan, kata seorang pakar industri pertahanan kepada AFP.

Perolehan Raytheon dan Lockheed tahun lalu masing-masing berjumlah AS$64 bilion (RM270.18 bilion) dan AS$67 bilion (RM282.84 bilion).

"Raytheon mungkin menghasilkan lebih banyak wang untuk menjual sistem peluru berpandu Patriot ke Arab Saudi daripada yang mereka lakukan dari membuat peluru berpandu Stinger," kata Jordan Cohen iaitu seorang pakar penjualan senjata di Institut Cato.

"Syarikat-syarikat itu hanya akan berusaha keras untuk menghasilkan senjata yang tidak begitu berharga," kata Cohen kepada AFP.

Lockheed, Raytheon dan pengeluar senjata lain, Northrop Grumman tidak menjawab permintaan AFP untuk memberi komen tentang isu itu.

Namun, syarikat pengeluar senjata, General Dynamics menyatakan bahawa ia tidak meningkatkan prospek kewangannya sejak Januari lalu.

Syarikat Boeing hanya menyatakan terserah kepada pemerintah AS untuk memutuskan bagaimana untuk membelanjakan wang yang diperuntukkan untuk tujuan pertahanan.

Beberapa eksekutif syarikat pengeluar pembuatan senjata memberikan petunjuk bahawa keadaan di seluruh dunia akan membawa keuntungan kepada syarikat masing-masing.

Greg Hayes iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Raytheon menyatakan ketegangan yang meningkat di Asia, Timur Tengah dan Eropah Timur akan menyebabkan penjualan senjata di peringkat antarabangsa menjadi lebih tinggi tetapi ia tidak berlaku dengan segera.

Rakan sejawatannya di Lockheed-Martin, James Taiclet pula menyatakan bahawa beliau mendapati terdapat pertandingan kuasa-kuasa besar yang boleh mencetuskan perbelanjaan ketenteraan AS yang lebih tinggi.

"Perang di Ukraine merombak order geopolitik, dengan cara yang belum pernah dilihat dalam tempoh 30 tahun yang terakhir," kata Burkett Huey dari Morningstar iaitu sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Jerman telah mengumumkan perubahan dasar pertahanannya pada akhir Februari lalu setelah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan menyatakan bahawa ia akan memperuntukkan sebanyak 100 bilion euro (RM459.35 bilion) untuk memodenkan angkatan bersenjatanya.

Pada pertengahan Mac lalu Jerman berkata, ia akan memperoleh jet-jet pejuang F-35 daripada syarikat Lockheed.

Bagaimanapun, ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk jet-jet itu dihantar dari AS ke negara tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca