BEBERAPA hari lalu, saya cukup tertarik dengan persoalan dikemukakan oleh seorang ustaz dalam tazkirah ringkas Ramadan usai solat Zuhur iaitu – "Jika kita hanya dibenarkan meminta satu perkara sahaja pada bulan Ramadan ini, apa agaknya... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lalu, saya cukup tertarik dengan persoalan dikemukakan oleh seorang ustaz dalam tazkirah ringkas Ramadan usai solat Zuhur iaitu – "Jika kita hanya dibenarkan meminta satu perkara sahaja pada bulan Ramadan ini, apa agaknya permintaan kita kepada ALLAH SWT?”

Sambung beliau lagi – "Jika minta rezeki yang banyak, namun tidak sihat, tiada maknanya juga. Namun jika minta sihat, kalau rezeki sempit, payah juga hendak teruskan kehidupan.”

Justeru – "Mintalah keampunan daripada ALLAH SWT sebanyak mungkin dalam bulan yang mulia ini kerana segala hajat yang lain akan tertunai secara langsung sekiranya mendapat pengampunan daripada ALLAH SWT.”Sebetulnya, sangat besar ganjarannya bagi individu yang mendapat pengampunan ALLAH SWT. Hebatnya ganjaran keampunan daripada ALLAH SWT sehinggakan Nabi SAW bersabda dengan berpesan kepada Khalifah Umar: "Nanti akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran.

"Dia menghidap penyakit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada ALLAH, maka akan diperkenankan yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon kepada ALLAH keampunan baginya, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berkaitan dengan pengampunan, sesungguhnya ALLAH SWT berfirman: "Sehingga aku berkata (kepada mereka), pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, (sekiranya kamu berbuat demikian). Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran ALLAH (dan kekuasaannya).” (Surah Nuh, 71:10-13).

Pun begitu, kita tidak akan dikurniakan pengampunan oleh ALLAH SWT sekiranya tidak termasuk dalam golongan bersujud seperti mana firman ALLAH SWT: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat. Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka bersujud melainkan iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.” (Surah al-A’raf, 7:11).

Persoalannya dalam kalangan manusia, siapakah golongan tidak bersujud itu? Sekiranya kita bertadabbur dalam surah al-A’araf, adalah jelas sifat sombong dan tidak bersyukur merupakan dua perkara pokok bagi golongan tersebut. Pada hemat saya, jika kita dikurniakan umur yang panjang dan masih berbangga dengan kehebatan diri kita, selagi itulah bulan Ramadan dianggap sama seperti bulan-bulan lain dan jauh sama sekali dapat mentarbiahkan hati mereka untuk bersifat takwa.

Malah, dalam sebuah hadis, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: "Siapakah manusia yang paling baik?” Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amalnya (soleh).”

Lalu lelaki itu bertanya lagi: "Siapa pula manusia yang teruk?”

Rasulullah SAW menjawab: "Mereka yang dipanjangkan usianya (tetapi semakin) buruk amalannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Selain itu, daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun, maka ALLAH tidak menerima alasan disebabkan umurnya itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ingatlah, ALLAH SWT berfirman: "Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-A’raf, 7:34).

Justeru, jangan sia-siakan bulan Ramadan ini tanpa setiap detik memohon keampunan daripada ALLAH SWT. Semoga kita terus kekal bersujud kepada-Nya.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca