SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh bersikap 'terlompat-lompat' atau tidak konsisten dalam memenuhi keperluan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada masa ditetapkan, sebagaimana dituntut menerusi titah Yang di-Pertuan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh bersikap 'terlompat-lompat' atau tidak konsisten dalam memenuhi keperluan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada masa ditetapkan, sebagaimana dituntut menerusi titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Bekas Ahli Dewan Negara, Yusmadi Yusoff sebaliknya menegaskan kerajaan perlu menunjukkan satu keikhlasan politik jelas dengan pendekatan digunakan juga perlulah bersifat menyeluruh, melibatkan kesemua pihak berkepentingan secara telus dan konsisten.

Katanya, punca utama mengapa inisiatif pembentangan RUU Anti Lompat Parti ditangguhkan buat kali kedua adalah disebabkan kegagalan kerajaan melibatkan tiga entiti penting negara ketika ini iaitu Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Kabinet dan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam mengemukakan satu dasar awam jelas terhadap takrifan lompat parti.

"Masalah berlaku ketika ini adalah kesemua entiti ini tidak dilibatkan bersama secara konsisten, sehingga timbul pandangan-pandangan bersifat silo dalam kalangan mereka. Justeru, kita dapat melihat pendekatan kerajaan adalah 'terlompat-lompat'.

"Sebagai contoh, Jawatankuasa Pemandu MoU Transformasi dan Kestabilan Politik mahukan pendekatan sebegini, tetapi Kabinet kerajaan pula membuat keputusan sebaliknya. Pada masa sama, semua pihak tahu titah diraja mahukan RUU ini digubal segera demi kestabilan politik.

"Jadi, ia mesti bermula dengan dasar awam jelas yang hanya boleh datang melalui kerajaan. Sekiranya dasar awam mengenai isu lompat parti ini masih tidak konsisten, pendekatan legislatif atau inisiatif penggubalan undang-undang mengenainya akan dilihat kacau-bilau," ujarnya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengesahkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April ini ditunda.

Jelas Wan Junaidi, keputusan itu terpaksa dibuat susulan Kabinet bukan sahaja tidak mencapai kata sepakat dengan pelaksanaan RUU berkenaan, malah menuntut kajian mengenai definisi ‘lompat parti’ diperluaskan lagi.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menjelaskan sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU tersebut dibentangkan pada masa hadapan.

Berikutan keputusan mengejutkan kerajaan, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Wan Junaidi bertanggungjawab menyatakan dengan jelas di Parlimen, apakah prinsip asas undang-undang yang bakal dibentang dan diluluskan.

Mengulas lanjut, Yusmadi yang pernah dilantik sebagai Pengerusi Kaukus Dewan Negara mencadangkan kerajaan mengembalikan semula kuasa penilaian atau pentafsiran definisi moraliti RUU Anti Lompat Parti kepada Jawatankuasa Pemandu MoU Transformasi dan Kestabilan Politik kerana ia diwakili Perdana Menteri dan ketua-ketua parti utama pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, cadangan itu dianggap solusi terbaik bagi menyelesaikan isu kelewatan penggubalan RUU berkenaan memandangkan undang-undang hanya berkesan apabila ia didukung semua kelompok berkepentingan termasuk aktor-aktor politik yang mengetuai parti-parti politik masing-masing.

"Mereka ini semua wujud dalam Jawatankuasa Pemandu MoU kerjasama politik di antara wakil kerajaan dan PH, jadi mengapa kerajaan masih perlu lagi merundingkan takrifan RUU dengan Kabinet?

"Akhir sekali, semua ketua parti juga perlu menyatakan komitmen jelas kepada umum sebagaimana ditunjukkan oleh Majlis Presiden PH.

"Bagi saya, parti-parti kerajaan termasuk UMNO sendiri pun masih memberikan pendirian kabur. Jika semua parti ini mempunyai 'political will' yang kukuh, saya yakin RUU Anti Lompat Parti mampu dibentang dan diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca