ANGGOTA ASEAN berbelah bahagi dalam reaksi mereka terhadap Perang Rusia-Ukraine. Umumnya 10 negara anggota ASEAN telah memberi reaksi yang berbeza-beza, daripada kutukan oleh Singapura dan pengenaan sekatan ke atas Rusia sehinggalah sokongan rejim tentera Myanmar terhadap tindakan Kremlin.
Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Khas (UNGA) pada 2 Mac, lapan anggota ASEAN – Brunei, Filipina, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura dan Thailand bersama 141 negara lain telah mengundi resolusi menegur tindakan Rusia menyerang Ukraine sebagai ‘pencerobohan’ dan ‘mengecewakan’ serta menggesa Moscow untuk segera mengundurkan tenteranya dari negara itu. Vietnam dan Laos telah memilih untuk bersama 30 lagi negara untuk berkecuali.
Apa menarik adalah reaksi terperinci anggota ASEAN, misalnya Singapura.Negara tersebut merupakan negara yang paling tegas dalam memberi reaksi. Ia adalah satu-satunya anggota ASEAN yang mengutuk dengan menyebut nama Rusia dan mengumumkan sekatan kewangan serta langkah kawalan eksport ke atas Moscow.
Berbanding Brunei, Filipina dan Indonesia telah membuat teguran terhadap tindakan pencerobohan tetapi menyebut nama Rusia. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menegaskan bahawa beliau sedih dan amat bimbang dengan peristiwa yang melanda Ukraine dan menyeru kepada semua pihak supaya mengurangkan konflik.
Begitu juga Thailand yang telah meluahkan kebimbangan dan sokongannya untuk penyelesaian konflik secara aman. Thailand sejak dahulu lagi cuba mengelak daripada memihak dalam politik kuasa besar.
Kemboja pula memilih untuk berkecuali dalam Perang Rusia-Ukraine. Vietnam dan Laos cuba meminimumkan kritikannya terhadap Rusia. Ini kerana pergantungan Vietnam kepada senjata buatan Rusia untuk memodenkan angkatan tenteranya bagi tujuan mengimbangi tentera laut China di Laut China Selatan.
Selain itu, Rusia telah menjadi rakan Vietnam sejak Perang Vietnam pada tahun 1960-an lagi. Oleh demikian, Vietnam berhati-hati dalam reaksinya supaya tidak meyinggung Rusia.
Sebaliknya, Myanmar adalah satu-satunya negara anggota ASEAN yang menyokong tindakan Rusia. Ini kerana setelah rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, Rusia adalah kuasa besar pertama yang mengiktiraf junta sebagai kerajaan Myanmar yang sah.
Maka sekarang tiba masa Myanmar untuk membalas budi Rusia. Apa yang menarik, Duta Myanmar ke PBB, U Kyaw Moe Tun yang masih diiktiraf oleh PBB sebagai wakil sah Myanmar, walaupun telah dipecat oleh kerajaannya kerana tidak menyokong rampasan kuasa tahun lalu telah mengundi resolusi UNGA untuk menegur Rusia.
Impak Perang Rusia-Ukraine terhadap Asia Tenggara boleh dikesan dari tiga sudut. Pertama adalah industri senjata Rusia kerana aktiviti perniagaan utama Rusia di Asia Tenggara adalah penjualan senjata.
Sejak Putin memegang jawatan pada tahun 2000, Rusia telah menjadi pembekal senjata terkemuka ke rantau ini, dengan jualan berjumlah AS$10.7 bilion.
Kedua, kesan politik dan keselamatan. Walaupun kedua-dua pentadbiran Presiden Donald Trump dan Joe Biden melabelkan Indo-Pasifik sebagai kawasan strategik Amerika Syarikat (AS), Perang Rusia-Ukraine dan ketegangan yang semakin meningkat antara NATO dan Rusia telah memberi gambaran bahawa fokus AS lebih tertumpu pada keselamatan serta pertahanan Eropah.
Ketiga, kesan ekonomi, bagaimana jumlah perdagangan antara Rusia dengan anggota ASEAN rendah berbanding China atau AS. Pada 2020, Rusia adalah rakan perdagangan ke-11 ASEAN dengan nilai dagang hanya bernilai AS$13.6 bilion dan pelaburan Rusia di rantau Asia Tenggara hanya bernilai AS$63.2 juta.
Kemelesatan ekonomi global akibat perang berkemungkinan besar akan memberi kesan ketara kepada negara-negara di rantau Asia Tenggara.
Konflik telah membawa kepada peningkatan harga minyak dan gas yang boleh melonjak lagi jika Rusia mengambil keputusan untuk mengurangkan eksport minyak.
Walaupun Perang Rusia-Ukraine terletak jauh dari Asia Tenggara tetapi ia merupakan ujian kepada perpaduan ASEAN dan ketahanan untuk menghadapi ketidakpastian.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca