UNDANG-UNDANG Keluarga Islam yang digubal dan diluluskan di negeri-negeri di dalam Malaysia merupakan undang-undang yang bertujuan untuk menyatukan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan... Klik di sini untuk terus membaca

UNDANG-UNDANG Keluarga Islam yang digubal dan diluluskan di negeri-negeri di dalam Malaysia merupakan undang-undang yang bertujuan untuk menyatukan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga.

Undang-undang itu terpakai bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam sesebuah negeri itu.

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pula adalah suatu akta bagi membuat peruntukan berkenaan dengan perkahwinan monogami dan pengupacaraan, dan pendaftaran perkahwinan itu serta menyatukan undang-undang berhubung per-ceraian.

Akta itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia juga tidak boleh dipakai bagi seseorang Islam atau seseorang yang berkahwin mengikut hukum syarak. Perkahwinan di bawah akta itu juga tidak boleh diupacarakan sekiranya salah satu pihak kepada perkahwinan tersebut beragama Islam.

Walaupun kedua-dua undang-undang berkisar dalam tajuk kekeluargaan ataupun hubungan dalam institusi kekeluargaan, namun terdapat banyak perbezaan antara kedua-duanya.

Antaranya, perkahwinan sivil mengiktiraf kedudukan anak tak sah taraf dan anak angkat seperti anak kandung. Anak tak sah taraf atau anak angkat akan menikmati faedah yang sama dengan anak kandung.

Sebaliknya, undang-undang Islam yang mementingkan nasab hanya mengiktiraf anak yang dilahirkan selepas enam bulan qamariah.

Anak angkat tidak menikmati faedah sama yang dinikmati oleh anak kandung, umpamanya dari segi pewarisan harta pesaka.

Seksyen 50 akta tersebut juga menyekat sebarang permohonan perceraian bagi orang bukan Islam sebelum tamat tempoh dua tahun dari tarikh perkahwinan mereka, melainkan terdapat keadaan atau kesusahan terkecuali yang dideritai oleh pihak itu ataupun untuk menjaga kepentingan anak.

Undang-undang Islam tidak membuat sekatan seperti itu. Suami atau isteri boleh memfailkan permohonan perceraian pada bila-bila masa selepas perkahwinan.

Seksyen 53 akta tersebut juga memerlukan pihak yang memohon perceraian menyatakan alasan permohonan tersebut. Piawaian atau tahap alasan yang diterima ialah bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tidak dapat dipulihkan lagi. Mahkamah boleh menyiasat kepecah belahan perkahwinan tersebut dan pihak yang memohon perceraian itu mestilah mengemukakan bukti.

Undang-undang Islam tidak memerlukan sebarang alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui talak. Namun, jika terdapat penyalahgunaan talak, maka pihak suami perlu membayar mutaah.

Bagi tuntutan harta sepencarian pula, sumbangan dalam bentuk wang, harta atau kerja perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum sesuatu aset itu boleh dikategorikan sebagai aset perkahwinan ataupun harta sepencarian.

Hutang pihak-pihak dan keperluan anak juga perlu diambil kira dalam membuat perintah pembahagian di Mahkamah Sivil. Bagi wanita Islam pula, pembahagian sehingga 1/3 boleh diberikan kepada isteri walaupun tidak bekerja dan tidak menyumbang secara langsung.

Suatu perintah nafkah kepada isteri pula akan sah sehinggalah suami atau isteri itu mati atau isteri berkahwin semula atau hidup dalam perzinaan dengan orang lain.

Dalam Islam, hak isteri untuk mendapat nafkah adalah hanya untuk tempoh tiga kali suci sahaja ataupun jika isteri tersebut mengandung, sepanjang tempoh mengandung itu mengikut yang mana lebih panjang ataupun sekiranya isteri telah putus haid selama empat bulan sahaja.

Kesimpulannya, ada perbezaan antara Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian Bukan Islam, undang-undang keluarga Islam lebih fleksibel tetapi mementingkan institusi kekeluargaan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca