DALAM tulisan minggu lalu, saya sarankan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan normalisasi kehidupan zaman endemik Covid-19 dan jangan terikut-ikut dengan tindak-tanduk kluster mahkamah partinya, UMNO.
Kerajaan hendaklah cekap, konsisten dan tegas. Dasar dan rancangan yang hendak dilaksanakan wajiblah yang terbaik, berfaedah dan segera. Dalam bahasa mudah, jangan bazirkan duit, masa dan tenaga.
Sekarang bukanlah masa untuk bermain dengan emosi, mengapi-apikan nasionalisme murahan dan jingoisme seperti cadangan menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi kedua ASEAN dan menggunakan bahasa Melayu dalam diplomasi antarabangsa.
Bukan kita tidak mahu mempertingkatkan kedudukan bahasa Melayu tetapi biarlah secara terancang dan masuk akal. Saya rasa saya berkelayakan sebagai pengguna dan pencinta bahasa Melayu untuk mempersoalkan tindakan Perdana Menteri itu. Saya lahir dan membesar dalam dunia bahasa Melayu. Itulah bahasa ibunda dan lidah saya.
Saya guna bahasa Melayu dalam percakapan dan penulisan tetapi saya juga bertutur serta menulis dalam bahasa Inggeris. Saya sudah menjadi wartawan dan menulis dalam dua bahasa selama lebih 52 tahun. Saya bangga dengan bahasa Melayu tetapi amat dukacita dengan kemerosotannya dari segi mutu dan penggunaannya.
Daripada pengalaman itu, izinkan saya katakan dengan terus terang bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berbeza.
Saya tidak kata bahasa Melayu tidak boleh digunakan sekali sekala sebagai penghias majlis di arena antarabangsa tetapi untuk tujuan diplomasi, pendidikan, ekonomi dan jual beli, kita terpaksa bezakan emosi kita daripada realiti.
Peniaga Arab di Makkah dan Madinah bercakap sepatah dua bahasa Melayu bukan kerana mereka sayangkan bahasa Melayu tapi kerana mereka tahu dalam poket orang Melayu ada duit untuk membeli barang jualan mereka.
Penguasaan bahasa Inggeris yang baik dan penggunaan yang meluas memudahkan kita pantas berurusan dengan dunia luar. Pelabur, pelancong dan pelajar antarabangsa datang ke Malaysia kerana kita menguasai bahasa Inggeris. Saya harap kontroversi yang tercetus antara negara kita dengan Indonesia akibat cadangan Perdana Menteri itu tidak merebak menjadi polemik jingoisme yang merugikan.
Dasar dalam negara pun wajib konsisten dan mesra rakyat, bukan menyusahkan mereka. Misalnya kerajaan sepatutnya memudahkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti memakai pelitup muka.
Malangnya, tidak semena-mena Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewartakan yang produk itu wajib mempunyai sijil SIRIM. Ia terpaksa ditangguhkan apabila rakyat membantah.
Perdana Menteri perlu memberi perhatian kepada isu-isu pokok yang lebih mendesak seperti normalisasi kehidupan harian, pemulihan ekonomi, pengawalan inflasi dan pengukuhan nilai ringgit.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Bank Negara jangan pandang sahaja kadar tukaran ringgit yang berlanjutan dan terima bulat-bulat sebagai keputusan pasaran. Tentu ada sebab mengapa kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika jatuh secara berterusan, sudah lebih 10 tahun sejak 2011.
Banyak lagi isu fiskal dan mata wang yang perlu ditangani, misalnya hutang lapuk, kemerosotan modal korporat dan pembabitan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan syarikat swasta yang mengalami masalah kewangan. Kalau ikut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak senang sahaja – kerajaan selamatkan mereka (bailout).
Saya tahu kerajaan keberatan untuk membuka kotak Pandora dengan mengumumkan kadar hutang lapuk sistem perbankan kerana takut berlaku hilang keyakinan dan penurunan penarafan oleh agensi penarafan dalam dan luar negara.
Namun, terdapat maklumat bahawa Kementerian Kewangan telah dan sedang melakukan penyelidikan serta simulasi mengenai kesan kemuflisan korporat terhadap sistem perbankan.
Ini adalah berlatarbelakangkan masalah kewangan dihadapi badan-badan korporat seperti Capital A Berhad (dulunya AirAsia Group Berhad), Sapura Energy Berhad, Genting Hong Kong Limited dan Serba Dinamik Holdings Berhad.
Kesimpulannya, eloklah Perdana Menteri menumpukan perhatian kerja-kerja hakiki pentadbiran. Serentak dengan itu, beliau juga perlu memberi peringatan dan mendisiplinkan anggota kabinet agar lebih tekun dan berkesan.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca