TAMPAKNYA usaha mempercepatkan akses spektrum generasi kelima (5G) bagi rangkaian mudah alih negara kepada pengguna mungkin akan berdepan kekangan dan halangan lagi.
Setelah berbulan-bulan berpolemik antara meneruskan model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network - SWN) atau Dua Rangkaian Pemborong (Dual Wholesale Network - DWN), kerajaan akhirnya membuat keputusan mengekalkan model SWN.
Kabinet bersetuju dengan cadangan bersama oleh Kementerian Kewangan (MoF) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mengekalkan model SWN di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) dengan perubahan dari segi pemilikan saham.
Cadangan perubahan itu ialah kerajaan akan mengurangkan pegangan saham mereka dalam DNB kepada 30 peratus, manakala 70 peratus saham lagi akan ditawarkan kepada syarikat pengendali rangkaian mudah alih (telco) sedia ada.
Selepas pengumuman itu, media massa melaporkan reaksi Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd yang menyambut baik keputusan kerajaan membuka ruang bagi syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.
Namun, sejak beberapa hari ini kita dapati wujud konflik baharu apabila sebahagian besar telco tidak bersetuju dengan dokumen teknikal Penawaran Terma Capaian atau Reference Access Offer (RAO) yang dikeluarkan DNB.
RAO ialah dokumen teknikal penting yang memberitahu pihak telco mengenai perkhidmatan 5G ditawarkan DNB kepada mereka, antaranya spesifikasi 5G, kos perlu dibayar dan syarat kualiti yang perlu ditawarkan DNB kepada telco.
Walaupun tidak pasti berapa harga akan dikenakan kepada pengguna, namun The Edge (25 Januari) membuat anggaran kos yang akan dibayar telco bagi setiap 1 Gigabait (GB) ialah 13 sen. Ia berdasarkan harga bulanan RM30,000 bagi setiap GB per saat (Gbps) ditawarkan DNB.
Perlu diingat, kos itu adalah kos bersih kerana telco tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembinaan infrastruktur 5G seperti yang mereka perlu lakukan dalam spektrum 3G dan 4G. Telco juga mempunyai pemfaktoran kreatif lain seperti traffic shaping dalam menentukan harga sebenar kepada pengguna.
RAO disediakan DNB dengan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Justeru, ia seharusnya telah menjadi satu dokumen menang-menang kepada DNB dan telco.
Malangnya, telco-telco utama masih tidak bersetuju dengan RAO tersebut. Setakat ini hanya YES dan Telekom melanggan infra 5G yang telah disiapkan.
Telco-telco ini perlu menjaga kepentingan mereka agar tidak rugi atau ditindas DNB. Namun, kita juga tidak mahu telco-telco ini bertukar menjadi kartel yang ‘mengugut’ DNB secara tersirat dengan mahukan syarat berat sebelah menguntungkan mereka dan merugikan DNB.
Kebimbangan banyak pihak ialah empat telco lagi yang menguasai lebih 90 peratus rangkaian telefon mudah alih negara telah menggunakan kedudukan mereka untuk menekan DNB sebagai tindak balas ke atas kerajaan yang menolak cadangan pelaksanaan model DWN.
Sebahagian pengguna dan industri mahukan akses 5G segera ditawarkan tetapi ia tidak akan terjadi selagi telco-telco utama bersatu dan menggunakan kedudukan besar mereka dalam pasaran bagi mendapatkan tawaran luar biasa daripada DNB.
Di sini, kita tertanya-tanya adakah MoF sebagai pihak yang bertekad mahu melaksanakan SWN memainkan peranan cukup berkesan bagi menjayakan model tersebut. MoF harus melihat secara holistik RAO yang disediakan dan kehendak telco terbabit. Jika RAO itu sudah cukup realistik dan menguntungkan semua pihak, tidak ada sebab syarikat seperti Celcom bermain tarik tali.
Celcom adalah anak syarikat Axiata Berhad, dengan MoF secara langsung menguasai 36.74 peratus sahamnya. Selain itu terdapat pengaruh tidak langsung MoF dalam Axiata menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 17.06 peratus dan Skim Amanah Saham Bumiputera sebanyak 11.94 peratus.
Bagaimana hal itu boleh terus tertangguh dan tertunda dengan Celcom, sedangkan Celcom dan DNB berada di bawah kawal selia MoF.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca