BERMULA 1 April lalu, negara kita secara rasmi memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 dengan memansuhkan serta mengemas kini beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai sebelum ini. Keputusan itu dibuat adalah langkah... Klik di sini untuk terus membaca

BERMULA 1 April lalu, negara kita secara rasmi memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 dengan memansuhkan serta mengemas kini beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai sebelum ini.

Keputusan itu dibuat adalah langkah untuk rakyat jelata kembali menjalani kehidupan normal selepas bergelut dengan wabak berkenaan sejak dua tahun lalu.

Sudah tentu ia satu berita yang menggembirakan yang akhirnya membolehkan semua orang dapat melakukan aktiviti walaupun masih terikat dengan beberapa peraturan seperti memakai pelitup muka serta dinasihatkan tidak berada di kawasan yang sesak.

"Semua pihak menyambut baik keputusan kerajaan ini. Usaha kerajaan memerangi Covid-19 sesungguhnya telah membuahkan kejayaan memberangsangkan dengan jumlah kadar kematian telah menurun secara mendadak.

"Selain itu, tindakan kerajaan membuka semua sempadan negara turut dipuji oleh pelbagai pihak terutama sekali sektor pelancongan kerana ia mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi di negara kita,” tulis Lidah Pengarang Sin Chew Daily.

Bagaimanapun, jelas akhbar berkenaan, semua orang masih perlu berwaspada terhadap wabak Covid-19 ini kerana ia tidak akan lenyap sepenuhnya.

"Lihatlah perangkaan terkini. Jumlah kes baharu yang diumumkan Kementerian Kesihatan setiap hari masih agak membimbangkan manakala jumlah kematian berada dalam kedudukan dua angka.

"Maka sebab itulah rakyat jelata masih diminta untuk bersikap jaga-jaga dengan memakai pelitup muka, rajin cuci tangan dan menjaga penjarakan sosial,” jelasnya.

Menurut Sin Chew Daily lagi, sehingga hari ini, jumlah kes Covid-19 yang tercatat di negara kita telah pun melebihi 4.2 juta, dan angka ini dijangka bertambah dengan lebih banyak jika tiada pengawasan yang ketat dilakukan.

"Kita boleh mengambil contoh daripada beberapa negara luar. Misalnya di Amerika Syarikat, kumulatif jangkitan telah mencapai 25 peratus daripada jumlah populasi penduduk. Begitu juga di England (31.6 peratus), Perancis (39.7 peratus), Korea Selatan (27.1 peratus), Hong Kong (15.7 peratus) dan Singapura (19.5 peratus).

"Satu lagi perkembangan yang agak membimbangkan ialah keadaan di China ketika ini. Sejak dua tahun yang lalu, negara berkenaan mampu memerangi Covid-19 dengan berjaya apabila hanya 150,000 kes direkodkan.

"Namun, pada Sabtu lalu, hanya dalam tempoh 24 jam, seluruh negara China telah dilaporkan mencatatkan kes baharu sebanyak 13,146. Malahan, turut diberitakan munculnya kes jangkitan membabitkan subjenis baharu varian Omicron BA.1.1, di sebuah bandar kira-kira 70 kilometer dari Shanghai,” ujar akhbar ini.

Tidak dapat dinafikan, tindakan membuka sempadan negara sememangnya member ruang untuk virus Covid-19 ini menular dengan cepat. Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah sentiasa sedar bahawa kita sebenarnya masih belum tamat berperang dengan virus ini

"Kita juga perlu mengambil pengajaran dengan apa yang telah berlaku di Denmark dan Norway apabila kedua-dua negara ini membatalkan kebanyakan sekatan pada awal Februari lalu walaupun terdapat kes membabitkan varian Omicron.

"Kedua-dua negara ini tidak lagi menganggap pandemik berkenaan sebagai 'penyakit kritikal sosial' kerana ia tidak membebankan sistem kesihatan, selain mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi. Malangnya selepas 50 hari rakyat Denmark dan Norway diberi kelonggaran bergerak secara bebas, jumlah kumulatif jangkitan telah meningkat melebihi satu kali ganda.

"Adalah diharapkan kita semua mestilah berhati-hati kerana telah terdapat pelbagai jenis varian baharu Covid-19 yang lebih bahaya muncul mendekati kita. Sebenarnya kita masih terlalu awal untuk meraikan kejayaan," ulas Sin Chew Daily.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca