SEJAK kebenaran untuk mengembara dilonggarkan bermula 1 April lalu, Belalang pun tidak terkecuali daripada turut bersama.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah Subang, misalnya, yang menjadi hub utama untuk penerbangan domestik mula dipenuhi manusia.
Dan nampaknya jumlah pelancong dalam negara dan dari luar negara sama ramai.
Destinasi yang paling popular dan menjadi rebutan ramai ialah Langkawi dan Pulau Pinang hinggakan untuk mereka yang akan bertolak ke Langkawi, diperuntukkan laluan khas agar mereka tak perlu berebut dengan penumpang yang lain.
Ini adalah pemandangan luar biasa jika dibandingkan beberapa bulan yang lalu.
Jika tahun lalu lapangan terbang tidak hidup dan mati kerana tidak ada manusia yang berulang alik tetapi kini tidak lagi.
Pemandangan yang sama turut dapat disaksikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Apa yang dapat Belalang saksikan ialah oleh kerana keadaan telah kembali sibuk, ada yang sampai ketinggalan pesawat.
Ini kerana sebahagian besar daripada pengembara tersangkut di kaunter pas masuk kerana orang terlalu ramai beratur dan selepas itu sekali lagi tersangkut di kawasan pemeriksaan keselamatan.
Kedua-dua tempat ini menyaksikan barisan yang panjang pada setiap masa khususnya pada Sabtu dan Ahad.
Di kaunter mendapatkan pas masuk, masih ada kompromi dan ruang lagi untuk cepat kerana para petugas akan memanggil dan memberi peluang kepada penumpang yang akan menaiki pesawat terkini terlebih dahulu.
Bagaimanapun perkara yang serupa tak akan diperolehi di ruang pemeriksaan keselamatan.
Lambat atau tidak, wajib beratur mengikut giliran dan pemeriksaan keselamatan. Tiada apa jua ruang untuk berkompromi sama sekali.
Dan dalam keadaan kelam kabut itu, para penumpang perlu mengosongkan apa juga barangan dan bahan yang ada di dalam poket mereka untuk di masukkan ke dalam berkas atau bakul plastik untuk diimbas terlebih dahulu.
Percayalah, ini semua akan memakan masa dan menjadikan para pengembara yang telah lewat lebih panik kerana pada masa yang sama, dia mendengar namanya dipanggil menerusi pembesar suara sebagai ‘panggilan terakhir’.
Ia turut membawa kepada ‘pertelingkahan kecil’ tetapi sekali lagi, pengawal keselamatan tidak dapat dipersalahkan di antara kecuaian dan kelewatan kita sendiri.
Keselamatan penumpang lain dan pesawat tetap tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan sekali pun.
Proses dan prosedur operasi standard tidak boleh dilonggarkan hanya atas alasan sudah lewat untuk mengejar pesawat.
Oleh itu, Belalang ingin berpesan kepada semua pengembara, jangan ambil mudah dan rancanglah perjalanan anda sebaik mungkin.
Dan yang paling penting datanglah awal ke lapangan terbang kerana pesawat tak akan menunggu anda. Andalah yang kena menunggu pesawat.
Belalang - Belum pernah terlepas pesawat seumur hidup...
Klik di sini untuk terus membaca