SHAH ALAM - Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, rata-rata rakyat Malaysia memohon agar kerajaan pertimbangkan untuk memberi diskaun tol sehingga 50 peratus di semua lebuh raya di negara ini kepada semua pengguna jalan raya.
Sebahagian besar daripada mereka juga mengakui terpaksa memperuntukkan jumlah wang yang banyak bagi persiapan hari raya termasuk membeli pakaian, servis kereta dan penyediaan duit raya.
Pada tahun ini, bilangan rakyat Malaysia yang pulang meraikan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing dijangka bertambah selepas dua tahun terpaksa beraya di ibu kota akibat larangan rentas sempadan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengawal Covid-19.
Tinjauan Sinar Ahad juga mendapati, dengan cara memberi diskaun tol tersebut, secara tidak langsung kerajaan membantu mengurangkan bebanan kos rakyat yang kini sedang ke arah proses pemulihan ekonomi akibat Covid-19.
Pekerja swasta, Nor Deliyana Darwes, 26, berkata, meskipun harga tol tidak terlalu mahal dibandingkan dengan harga petrol, namun ia sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka yang berhasrat pulang ke kampung halaman pada hari raya nanti.
Dia yang kini tinggal di Shah Alam berkata, perjalanannya pulang ke kampung di Pahang mencecah perbelanjaan lebih RM200 termasuk kos petrol dan tol.
"Walaupun nilai diskaun ini kita nampak sedikit, tetapi ia membantu bagi golongan tertentu. Meskipun ia tidak mengurangkan beban secara keseluruhan, tetapi rakyat dapat merasai keprihatinan kerajaan.
"Tahun ini, bajet raya sahaja mencecah sehingga RM1,800 kerana banyak komitmen yang perlu diselesaikan. Jadi, saya memang berharap agar kerajaan dapat pertimbangkan supaya memberi diskaun bagi mengurangkan beban orang ramai,” katanya kepada Sinar Ahad.Bagi Nordin Ahmad Sidan, 64, yang bekerja sendiri berkata, hasil pengurangan tol tersebut boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti membeli keperluan asas di rumah, contohnya barangan basah.
"Kita sudah dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga. Jadi apa salahnya sekiranya kerajaan memberi ‘bonus raya' dalam bentuk pengurangan tol ini,” ujarnya.
Pandangan sama turut dikongsi Zarith Sofea Zawawi, 24, yang mahukan supaya kadar tol dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus.
Eksekutif Komunikasi Korporat itu berkata, ia melihat kepada kewangan semasa sebilangan rakyat yang agak mendesak dan baru sahaja mahu pulih akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Sewajarnya kerajaan meringankan beban rakyat dengan memberi diskaun di semua tol dalam tempoh musim perayaan. Dalam masa sama, kerajaan juga perlu pertimbangkan untuk memberi baucar mengisi minyak dan tiket pengangkutan awam,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Muhammad Nur Fathullah Abu Bakar, 24, seharusnya kerajaan menyediakan diskaun tersebut bagi meraikan anak perantauan yang tidak dapat beraya selama dua tahun sebelum ini.
Katanya, diskaun tol mampu memberikan sinar kebahagiaan kepada golongan bujang di perantauan yang gajinya diibarat cukup-cukup makan sahaja.
"Kita sekarang menuju ke peralihan fasa endemik yang mana boleh beraya seperti biasa. Sudah semestinya masyarakat akan berbelanja wang mereka kepada keperluan raya. Jadi, lebih banyak wang yang digunakan.
"Dengan diskaun tol ini, mampu menaikkan semangat mereka untuk pulang ke kampung berjumpa dengan ahli keluarga tersayang,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Raftah Hanim Hamzah, 51, berkata, diskaun yang diharapkan dapat ditunaikan kerajaan itu mampu menangani kos kehidupan yang semakin meningkat, ditambah masalah kenaikan harga barangan ketika ini.
"Ia sudah semestinya dapat mengurangkan beban persediaan menyambut hari perayaan kerana selain harga bahan mentah yang meningkat, harga pakaian turut sama naik,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Amir Mohamad Ruzi, 27, yang bekerja sendiri berkata, diskaun tol tersebut perlu dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu bagi memberi keseronokan kepada orang ramai menyambut perayaan.
"Kalau nak mengharap penghapusan tol, pastinya ia memerlukan masa yang panjang untuk diperhalusi. Jadi, beri diskaun ini secara one-off. Semestinya bantuan ini dapat mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Muka depan Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, rakyat Malaysia terpaksa berbelanja lebih untuk empat keperluan utama iaitu pembelian baju raya, pemberian duit raya, perjalanan pulang ke kampung dan penyediaan juadah raya susulan peningkatan harga barang yang dihadapi rakyat ketika ini.
Bagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang hingga empat anak, kos perbelanjaan tersebut dianggarkan mencecah RM1,500 hingga RM4,500 manakala untuk individu bujang sekitar RM1,200 seorang.
Beberapa individu yang ditemui menjelaskan, perbelanjaan paling tinggi ialah kos perjalanan pulang ke kampung seperti belanja petrol, tol dan servis kenderaan, selain penyediaan juadah raya.
Pengendali lebuh raya perlu terlibat sama
Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyokong rayuan rakyat Malaysia agar kerajaan memberikan diskaun tol di semua lebuh raya sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Dr Saravanan Thambirajah berkata, pengurangan sebanyak 30 hingga 50 peratus sudah cukup untuk membuatkan rakyat gembira.
Beliau bagaimanapun berkata, usaha itu bukan sahaja dilakukan kerajaan, tetapi dalam masa sama pengusaha dan pengendali lebuh raya juga perlu terlibat sama.
"Kerajaan pada tahun ini mesti memberikan penekanan terhadap sambutan raya yang akan tiba. Ini kerana, setelah dua tahun, akhirnya umat Islam dapat beraya bersama keluarga tersayang di kampung.
"Jadi, untuk memudahkan urusan mereka, lebih bagus jika kerajaan boleh memberi diskaun yang munasabah supaya rakyat dapat balik ke kampung dengan rasa gembira.
"Dalam masa sama, ia bukan sahaja tanggungjawab kerajaan. Pengusaha dan pengendali lebuh raya juga perlu memainkan peranan. Mereka juga penting dalam aspek ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Mengenai kerugian yang bakal ditanggung pengendali lebuh raya sekiranya diskaun tol diberikan, Saravanan berkata, ia tidak berlaku kerana jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya akan bertambah, sekali gus meningkatkan pendapatan pengendali lebuh raya.
"Terutama pada musim perayaan, semestinya banyak kenderaan yang akan melalui tol kerana ramai yang akan pulang ke kampung masing-masing. Bagi saya tiada masalah mengurangkan kadar bayaran tol ini,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil kira kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar apabila harga barangan termasuk makanan meningkat.
"Kita perlu faham, dengan kenaikan harga barang dan makanan sekarang, kos sara hidup pengguna makin meningkat.Ini telah menyebabkan kuasa beli mereka jatuh.
"Pada tahap ini, apa-apa bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat akan menyebabkan mereka dapat menyambut raya dengan lebih gembira,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca