ANKARA - Turki pada 10 Mac lalu menjadi tuan rumah dalam rundingan peringkat tinggi yang pertama kali diadakan antara Rusia dengan Ukraine bagi mencari penyelesaian dalam isu pencerobohan Moscow ke atas Kiev. Rundingan di bandar peranginan... Klik di sini untuk terus membaca

ANKARA - Turki pada 10 Mac lalu menjadi tuan rumah dalam rundingan peringkat tinggi yang pertama kali diadakan antara Rusia dengan Ukraine bagi mencari penyelesaian dalam isu pencerobohan Moscow ke atas Kiev.

Rundingan di bandar peranginan Antalya selama tiga hari itu melibatkan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan rakan sejawatannya dari Ukraine Dmytro Kuleba dengan disertai oleh Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.

Bagaimanapun, dalam rundingan tiga penjuru ketika itu, Rusia dan Ukraine gagal mencapai kesepakatan untuk mengadakan gencatan senjata selain bercanggah pendapat berhubung isu-isu kemanusiaan.

Pada 29 Mac pula, rundingan secara bersemuka antara kedua-dua delegasi dari Moscow dan Kiev diadakan di Istanbul tetapi tanpa kehadiran Menteri Luar Rusia dan Ukraine.

Dalam rundingan itu, bilionair Rusia yang merupakan bekas pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich berada dalam senarai delegasi Moscow dan beliau dilaporkan berbual dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Mevlut dalam mesyuarat antara kedua-dua negara.

Hasil pertemuan itu adalah positif apabila kedua-dua negara berjaya mencapai kompromi dan persefahaman mengenai isu-isu tertentu dan menyatakan bahawa perang di Ukraine perlu ditamatkan dengan segera.

Menteri Luar Turki ketika mengulas tentang rundingan yang bersemuka antara kedua-dua pihak berkata ketika itu bahawa isu yang lebih sukar dijangka akan dibincangkan antara rakan sejawatannya dari Ukraine dan Rusia pada masa akan datang sambil menyatakan bahawa pemimpin kedua-dua negara akan bertemu kemudian.

Namun, kejadian pembunuhan orang awam terbongkar di Bucha pada minggu lalu dan wilayah lain berhampiran Kiev dengan tentera Rusia dituduh Ukraine melakukan kejadian tersebut namun dinafikan oleh Moscow.

Insiden pembunuhan itu membayangi rundingan damai antara kedua-dua pihak yang dilaporkan memilih Turki untuk sekali lagi menjadi tuan rumah dalam mesyuarat antara Rusia dengan Ukraine dengan matlamat untuk menamatkan peperangan tersebut.

Rusia dan Ukraine bersedia untuk mengadakan rundingan di Turki, kata seorang pegawai Turki itu kepada wartawan pada Jumaat lalu.

Timbul persoalan mengapa Turki menjadi tempat rundingan mencari penyelesaian damai dan kenapakah bersungguh-sungguh mahu Rusia dan Ukraine menamatkan peperangan.

Ketika mengulas tentang kesediaan Rusia dan Ukraine mahu mengadakan rundingan damai di Turki itu adalah kerana ia merupakan satu-satunya negara yang boleh berbincang dengan kedua-dua pihak, kata pegawai Ankara tersebut.

Pembunuhan oran awam di Bucha dijangka membayangi rundingan damai Rusia-Ukraine pada masa depan. - AFP

Sebenarnya, Turki yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak tahun 1952 itu telah lama berusaha untuk menjadi pengantara antara Ukraine dan Rusia walaupun sebelum perang bermula pada 24 Februari lalu.

Ukraine dan Rusia tidak menyertai NATO yang turut dianggotai oleh Amerika Syarikat (AS).

Turki sebelum ini telah menawarkan beberapa kali untuk menjadi tuan rumah kepada kedua-dua pihak untuk berunding, dengan Recep pernah menjemput pemimpin Rusia dan Ukraine ke Istanbul untuk melakukan rundingan secara bersemuka dalam usaha untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

Recep juga pernah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin melalui telefon pada 6 Mac lalu yang mana Presiden Turki itu mencadangkan kepada rakan sejawatannya untuk membuka jalan damai bersama dan melancarkan rundingan bagi penyelesaian secara aman Perang Ukraine.

Kedua-dua negara itu juga berjiran dengan Turki kerana ia mempunyai sempadan maritim dengan Ukraine dan Rusia.

Selain menjadi rakan perdagangan terbesar Rusia di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara manakala Ankara dan Moscow juga terlibat dalam zon konflik di Syria, Libya dan Nagorno-Karabah.

Sebagai ahli NATO, Turki telah membekalkan Ukraine dengan dron tetapi ia mengelak daripada menyertai sekatan ekonomi Barat terhadap Moscow.

Rusia pernah menegur Turki kerana menjual dron kepada Ukraine tetapi Ankara menyatakan jualan itu adalah melibatkan syarikat swasta dan bukannya kerajaan yang dianggap merupakan kenyataan untuk tidak menaikkan kemarahan Moscow.

Hubungan Turki yang baik dengan Rusia itu juga terjalin dari segi pembelian sistem udara pertahanan S-400 buatan Moscow sehingga mengakibatkan AS mengecualikan Ankara daripada program jet pejuang canggih F-35 NATO pada tahun 2019 selepas kerana mengingkari amaran daripada sekutu Baratnya.

Pengambilalihan itu telah menjejaskan hubungan Turki-AS dan menyekat rancangan Turki untuk membeli kira-kira 100 pesawat pejuang F-35.

Kedudukan unik Turki dari segi sempadan maritim dengan Ukraine dan Rusia, pembelian peralatan ketenteraan Rusia, rakan dagangan terbesar Moscow di Timur Tengah, hubungan pasang surutnya dengan AS menyebabkan ia berusaha untuk menamatkan perang yang dimulakan Moscow kerana peperangan tersebut turut memberikan kesan kepada Ankara.

Klik di sini untuk terus membaca