SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membidas pandangan segelintir pemimpin pembangkang mendakwa pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan sebelum pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, akan membolehkan kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk menyekat kebebasan berpersatuan wakil rakyat tertentu.
Menegaskan pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan seperti zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu yakin kerajaan sedia ada yang sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Parlimen dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH), tidak akan berbuat demikian.
Berikutan itu, Mohamed Nazri menganggap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang lantang menyuarakan kebimbangan berkenaan, sebagai bermimpi di siang hari selain tidak memahami proses meluluskan RUU berkenaan sememangnya memakan masa.
"Saya tidak fikir kerajaan yang sudah memeterai MoU gencatan politik dengan PH akan menyalahgunakan kuasa setelah beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan takrifan kebebasan berpersatuan dibuat. Ini bukan zaman Mahathir.
"Saya anggap Nurul Izzah bermimpi di siang hari. Pada saya, memang ada keperluan untuk pindaan Perlembagaan berkaitan dibuat bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti digubal.
"Ini kerana kalau berdasarkan kertas putih pembentangan RUU berkenaan yang dikemukakan kerajaan, tarikh sah laku pindaan Perlembagaan yang dipersetujui semua pihak kelak, hanya Yang di-Pertuan Agong yang berhak menentukannya," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Nurul Izzah meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan meminda Perlembagaan terlebih dahulu untuk membolehkan RUU Anti Lompat Parti dilaksanakan.
Hal ini kerana bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berpendapat kerajaan seharusnya menyelesaikan dahulu perselisihan pendapat di antara pemimpin-pemimpin dalam Kabinet dalam soal takrifan RUU itu sendiri.
Gesaan itu hadir di tengah-tengah kebimbangan bahawa perkataan pindaan Perlembagaan akan memberikan kuasa yang luas untuk menyekat kebebasan berpersatuan, seperti kerajaan diberi kuasa selama-lamanya untuk melucutkan kerusi ahli Parlimen tertentu.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menjelaskan apabila prinsip atau takrifan RUU Anti Lompat Parti dipersetujui semua pihak, maka proses pindaan Perlembagaan terutama berkaitan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat restu Yang di-Pertuan Agong dan ia pastinya memakan masa.
Jelas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu lagi, hanya apabila Yang di-Pertuan Agong menetapkan satu tarikh bersesuaian bagi membolehkan RUU itu digubal, barulah RUU berkenaan mampu dilaksanakan.
"Jadi mesti ada masa berpisah di antara pindaan Perlembagaan yang dibuat sekarang dengan RUU Anti Lompat Parti bagi membenarkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tarikh penguatkuasaannya.
"Itu sahaja faktor utama mengapa agenda pembentangan RUU Anti Lompat Parti terpaksa ditangguhkan kali kedua. Jadi tidak usah mana-mana pihak cuba menuduh kerajaan cuba meminda Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan bagi menyalahgunakan kuasa politik dimiliki mereka.
"Yang selalu salah guna kuasa kerajaan dalam meminda Perlembagaan Persekutuan adalah Dr Mahathir pada zaman Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri," jelasnya.
Mohamed Nazri turut berpandangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti yang bakal dilaksanakan pada Isnin adalah pindaan bagi memberi pengecualian daripada jaminan perlembagaan tentang kebebasan berpersatuan.
"Kalau ikut Perlembagaan Persekutuan, ia menjamin kebebasan berpersatuan dan kita kena pinda Artikel 10 untuk buat pengecualian terhadap subseksyen tertentu supaya RUU Anti Lompat Parti dapat dilaksanakan.
"Ini kerana sekiranya pindaan itu tidak buat, ia akan menyekat wakil rakyat berkenaan untuk berpersatuan selama-lamanya setelah individu itu melompat masuk parti lain," katanya lagi.
Ditanya sama ada perselisihan pandangan di antara menteri-menteri Kabinet mampu membantut usaha menyegerakan RUU Anti Lompat Parti, Mohamed Nazri menegaskan perkara itu tidak penting kerana di dalam Kabinet kerajaan sendiri pun terdapat banyak 'katak politik'.
"Yang penting, 220 ahli Parlimen dibenarkan membuat takrifan khusus terhadap definisi sebenar aktiviti lompat parti berdasarkan pemahaman mereka.
"Bagi saya, takrifan RUU Anti Lompat Parti biarlah ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen sendiri, bukan menteri-menteri Kabinet," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca