MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti pelbagai kaum mengambil langkah berani mengikut jejak langkah rakan koalisi dalam Pakatan Harapan (PH), DAP untuk mengadakan pemilihan parti pada bulan Mei ini.
Dengan sejarah pemilihan PKR sering dikaitkan dengan insiden ketegangan dan perpecahan dalaman terutama sewaktu pertembungan bekas Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan tahun 2018, ramai pemerhati politik berpandangan keputusan itu adalah tidak wajar dan mampu mewujudkan rekahan besar dalam saf kepimpinan PKR ditunjangi Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, sebilangan pendukung parti menyifatkan proses pemilihan PKR penggal 2022-2025 sangat penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan parti bagi mendepani PRU15.
Lebih-lebih lagi, kekalahan teruk dalam empat siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, membuktikan sokongan rakyat dan pengundi atas pagar terhadap PH dan PKR semakin terhakis.Sama ada suka atau tidak, pemilihan PKR tahun 2022 sebenarnya sangat signifikan untuk mencorakkan jalur pemikiran parti, sama ada 1.2 juta ahli parti itu lebih cenderung menyokong idea pembentukan khemah besar pembangkang atau kembali kepada resipi kemenangan PH pada PRU14.
Menariknya, pertembungan dua idea itu bakal dipelopori dua calon Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini iaitu bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi sendiri.
Mengumumkan kemunculan semula dalam dunia politik sejak sebulan lalu, Rafizi bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sangat lantang menentang idea pembentukan khemah besar pembangkang yang disifatkannya tidak selari dengan ideologi PH.
Di pihak Saifuddin pula, beliau menawarkan kesetiaan kepada institusi presiden parti selain lebih berdiplomasi untuk berunding dengan parti-parti dalam PH dalam mendapatkan formula kemenangan PRU15 lebih ampuh.
"Saifuddin juga merupakan kem penyokong pembentukan khemah besar pembangkang dan beliau merasakan untuk PH dan PKR menang PRU15, kita mesti bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain.
"Semua ini adalah contoh tawaran yang perlu dibentang dengan baik kepada ahli-ahli PKR dan pengundi. Kena bincangkan perkara ini tanpa perlu beremosi, akhirnya kita serahkan kepada pengundi untuk memilih,” kata Rafizi dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Premium minggu lalu.
Di sebalik pertembungan itu, satu perkara paling penting dipersetujui kedua-dua kem diterajui Rafizi dan Saifuddin adalah kualiti kepimpinan Anwar selaku Pengerusi PH dan calon Perdana Menteri pembangkang masih relevan dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
"Secara keseluruhannya, pertembungan Rafizi-Saifuddin dianggap tidak setajam pertembungan Rafizi-Azmin di mana proses pemilihan parti pada kali ini lebih harmoni dan bersifat ‘perlawanan persahabatan’,” ujar Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.
Menjelang hari pencalonan peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 8 dan 11 April ini, senarai kepimpinan PKR yang sudah menawarkan diri bertanding lima jawatan tertinggi parti meliputi Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden tidak menghadirkan sebarang kejutan ketara.
Setakat ini, antara pemimpin PKR telah mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden adalah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan; bekas penyandang jawatan itu, Chang Lih Kang; Ketua PKR cawangan Kota Raja, Dr Gunaraj George dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Selain itu, bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh turut mencuri tumpuan apabila mengesahkan bertanding jawatan tertinggi parti berkenaan bersama seorang lagi bekas Naib Ketua Pemuda parti, S Thiban.
Berdasarkan senarai berkenaan, mereka yang dipercayai berada dalam senarai ‘cai’ pasukan Rafizi adalah Nik Nazmi, G Manivannan dan Lih Kang.
Manakala pemimpin-pemimpin yang difahamkan menyokong pencalonan Saifuddin terdiri Fuziah, Abdullah Sani dan Thiban.
STATUS PENCALONAN
Justeru, timbul tanda tanya terhadap status pencalonan dua pemimpin berpengaruh dalam PKR ketika ini iaitu Nurul Izzah dan bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador sama ada mereka turut bertanding jawatan Naib Presiden atau sebaliknya.
Farhash yang diketahui memimpin kem ‘baju hitam’ dalam PKR dan lantang mengkritik Rafizi, pernah menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden jika Saifuddin tidak berhasrat bertanding jawatan berkenaan.
Manakala Nurul Izzah yang meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden sebelum ini, turut disebut-sebut sebagai salah seorang pemimpin pelengkap ‘cai’ pasukan Rafizi bagi mengisi kuota empat kekosongan jawatan berkenaan secara bertanding.
Bagaimanapun, Hisommudin percaya Nurul Izzah dan Farhash bakal mengumumkan keputusan itu pada saat akhir, atau berkemungkinan menjadi pemimpin di belakang tabir bagi memastikan kem masing-masing menang sebelum mereka dipilih sebagai Naib Presiden lantikan.
Di peringkat pertandingan jawatan Ketua Wanita PKR, bekas Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Senator Fadhlina Sidek yang juga anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil bakal dicabar oleh bekas Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail.
Satu lagi pertandingan jawatan penting PKR yang menjadi tumpuan utama adalah jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pusat di mana bekas aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim bakal bertembung dengan bekas Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Dengan pemilihan PKR kali ini menampilkan sistem pengundian hibrid merangkumi kaedah pengundian fizikal atau aplikasi ADIL, di mana ahli-ahli layak memilih bukan sahaja bagi jawatan peringkat cabang, bahkan berpeluang mengundi jawatan presiden parti dan lima jawatan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Segalanya terserah kepada kebijaksanaan mereka untuk menentukan hala tuju PKR sama ada akan kembali bangkit atau terus hanyut dengan pelbagai kepincangan menjelang PRU15.
Klik di sini untuk terus membaca