SHAH ALAM - Menjelang hari pencalonan pemilihan jawatan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal tahun 2022-2025 pada Isnin, seorang pemimpin parti itu mengenepikan andaian satu pertembungan idea hala tuju parti bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal tercetus dalam kalangan pemimpin-pemimpin yang bertanding.
Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia, Mohd Yusmadi Yusoff berkeyakinan pertembungan yang berlaku kelak tidak lebih sekadar pertembungan generasi kepimpinan PKR yang kini melewati empat generasi.
Jelas beliau, tidak timbul isu pemilihan PKR kali ini akan menentukan sama ada parti akan mempertimbangkan pendekatan khemah besar pembangkang atau bergerak solo bagi menghadapi PRU15 kerana segalanya akan diputuskan menerusi rundingan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
"Bagi saya, tidak timbul isu pertembungan ideologi di antara kem-kem pemimpin yang bertanding kali ini seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (bekas Setiausaha Agung PKR) dengan Rafizi Ramli (bekas Naib Presiden parti).
"Saya lebih melihat pertembungan kali ini adalah pertembungan generasi kepimpinan PKR di mana Saifuddin yang muncul pada zaman kepimpinan generasi pertama reformasi Keadilan akan bertembung dengan Rafizi yang mewakili generasi kedua lebih dinamik dan agresif.
"Pertembungan kali ini juga dijangka lebih harmoni kerana kedua-dua pemimpin berkenaan sayangkan parti dan mahu memberikan khidmat terbaik untuk kemenangan PKR pada PRU15," ujarnya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi pertembungan di antara Saifuddin Nasution dengan Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan kali ini setelah jawatan itu dikosongkan oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang keluar parti bagi menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020.
Rafizi dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium dua minggu lalu mengakui pertembungan beliau dan Saifuddin akan menentukan sama ada PKR bakal mempertimbangkan ideologi pembentukan khemah besar pembangkang yang turut melibatkan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.
Saifuddin Nasution yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menyokong idea pembentukan khemah besar pembangkang dan secara terbuka menyatakan pintu rundingan PKR dengan PN tidak pernah tertutup pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Yusmadi yang tidak akan bertanding sebarang jawatan parti pada kali ini, bersedia mencari jalan bagi menggembleng empat generasi kepimpinan PKR yang wujud ketika ini supaya dapat bermuafakat bagi menghadapi PRU15 tidak lama lagi.
Jelas Pegawai Khas Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, inisiatif berkenaan penting kerana berlaku kelompongan hubungan kerjasama di antara keempat-empat generasi itu ketika ini adalah disebabkan masalah komunikasi di antara mereka.
Tambahnya, masalah kelompongan hubungan ini juga dibimbangi akan mewujudkan bibit perpecahan lebih besar selepas pemilihan PKR penggal 2022-2025 sekiranya tiada usaha penyatuan dibuat dalam kalangan kelompok berkenaan.
"Bagi tujuan itu, saya akan menganjurkan satu Konvensyen Generasi Keadilan pada 8 Mei hadapan di Petaling Jaya untuk mengumpulkan semua generasi pewaris reformasi PKR, bermula zaman bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pertama, Mohammad Ezam Mohd Nor diikuti zaman Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Saya mahu mencari jalan untuk menggerakkan integrasi di antara empat generasi kepimpinan PKR supaya pada PRU15, kesemua generasi berkenaan dapat bermuafakat, menggarap dan menggabung jalin kekuatan sesama mereka bagi memastikan kemenangan parti dan PH.
"Bagi menjayakan usaha konsolidasi parti, saya memutuskan untuk tidak bertanding sebarang jawatan parti supaya saya dilihat tidak memihak kepada mana-mana kem," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca