SHAH ALAM - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 esok dijangka berlaku perdebatan antara blok kerajaan dan pembangkang.
Bagaimanapun, Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir menjangkakan perdebatan tersebut akan berlangsung tanpa sebarang ketegangan.
"Tidak ada sebab mana-mana pihak baik kerajaan mahupun pembangkang untuk tidak menyokong pindaan itu kerana ini sudah menjadi hasrat kedua-dua belah pihak untuk sekian lama.
"Pindaan perlembagaan dilakukan dahulu supaya RUU Anti Lompat Parti ini dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pembentangan dan perbahasan itu melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, dengan kelulusan pindaan tersebut, maka aspirasi kerajaan, pembangkang serta rakyat untuk melihat keadaan politik yang lebih stabil akan dapat direalisasikan.
"Jadi rakyat sedang mengharapkan semua pihak memberi sokongan terhadap pindaan itu, kerana ini juga menjadi harapan rakyat.
"Walaupun kita menjangkakan akan ada debat tetapi (ia) tidak terlalu tegang. Ia kerana apa yang rakyat menantikan ialah cadangan-cadangan konkrit daripada kedua-dua belah pihak.
"Saya secara peribadi mengharapkan ini dapat berjalan dengan lancar supaya langkah seterusnya dapat diambil untuk memungkinkan RUU itu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca