SHAH ALAM - Pembeli yang membuat tempahan kereta baharu untuk model tertentu terpaksa menunggu sehingga enam bulan ekoran kekurangan cip semikonduktor global ketika ini kesan daripada pandemik Covid-19. Presiden Persatuan Automotif Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembeli yang membuat tempahan kereta baharu untuk model tertentu terpaksa menunggu sehingga enam bulan ekoran kekurangan cip semikonduktor global ketika ini kesan daripada pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan isu kekurangan cip itu akan berlanjutan sehingga hujung tahun ini.

Selain kekurangan cip semikonduktor, sektor automotif turut berdepan kekurangan tenaga pekerja, sekali gus mendorong berlakunya kelewatan tempahan kenderaan.

"Akibat kekurangan cip semikonduktor ini pengguna terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kereta kerana pihak industri (automotif) tidak boleh pasang komponen kenderaan kerana peralatan (yang diperlukan) tertangguh daripada luar negara.

"Masalah ini juga banyak memberi kesan kepada syarikat-syarikat alat ganti kenderaan dan disebabkan itu banyak tempahan yang dibuat pengguna tidak dapat dipenuhi segera.

"Jadi, kita harap masalah kekurangan cip ini akan tamat secepat mungkin supaya kita dapat keluarkan kenderaan sebelum berakhirnya pengecualian jualan ke atas kenderaan penumpang 30 Jun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

AISHAH

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan yang diterima industri automatif susulan masalah kekurangan cip semikonduktor yang dihadapi ketika ini.

Pada Rabu, media melaporkan MAA sedang memohon untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga akhir tahun ini berikutan masalah kekurangan cip yang masih berlaku.

Kenanga Research dalam nota penyelidikan berkata, masalah kekurangan cip mengehadkan keupayaan pengeluar kereta untuk memaksimumkan kapasiti pengeluaran mereka bagi memenuhi permintaan tertunggak yang menjangkau sehingga enam bulan bagi model tertentu.

Januari lalu, Moody’s Analytics mengunjur kekurangan cip semikonduktor global akan berterusan tahun ini di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Bagaimanapun, keadaan tersebut dijangka tidak seburuk seperti tahun sebelumnya.

KEPENTINGAN CIP UNTUK KERETA MODEN

Dalam pada itu, penganalisis automotif, Shamsul Yunos berkata, cip semikonduktor atau istilah umumnya cip mikro adalah peralatan yang boleh membantu syarikat kereta menawarkan lebih keupayaan dengan menggabungkan pelbagai fungsi kawalan dalam cip mikro.

Katanya, bilangan cip mikro yang digunakan di dalam kereta akan semakin meningkat memandangkan kenderaan moden semakin kompleks.

Menurutnya, kenderaan moden kini juga menawarkan pelbagai ciri termasuk keselesaan, keselamatan dan juga sambungan ke internet.

Kereta moden hari ini memerlukan cip sebagai litar penghubung bersepadu yang penting.

"Pada masa depan kereta dijangka akan lebih mirip komputer bergerak dan memerlukan cip mikro lebih banyak malah akan menggunakan pemproses mikro yang jauh lebih berkuasa daripada yang digunakan sekarang.

"Terutamanya untuk tujuan kawalan kereta dalam ‘mood autonomous’ atau tanpa pemandu,”katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, teknologi sambungan ke internet juga semakin canggih dan memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi untuk menjana paparan yang interaktif untuk penumpang.

"Kekurangan bekalan cip mikro mungkin berterusan tahun ini dan mula kembali pulih pada pertengahan 2023 apabila permintaan dan bekalan lebih stabil.

"Ini membolehkan semua pihak dapat merancang penghasilan dan penggunaan dengan lebih teratur,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca