[ANALISIS] Pada saat pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal berlangsung pada Mei ini, timbul tanda-tanya mengenai nasib saki-baki pemimpin dan ahli parti itu yang pernah dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed... Klik di sini untuk terus membaca

[ANALISIS] Pada saat pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal berlangsung pada Mei ini, timbul tanda-tanya mengenai nasib saki-baki pemimpin dan ahli parti itu yang pernah dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

Susulan Ahli Parlimen Gombak itu bertindak keluar parti bersama 11 bekas ahli Parlimen PKR lain setelah memenangi kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan tahun 2018, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah menyatakan PKR sudah ‘membersihkan’ sekurang-kurangnya 11,000 ahli yang dipercayai menyokong Mohamed Azmin sebelum ini.

Bagaimanapun, dengan Mohamed Azmin yang kini menjadi Menteri Kanan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pengaruhnya masih dianggap wujud.

Ramai pemerhati politik berpendapat, pemilihan PKR kali ini bakal menjadi medan sebilangan pemimpin yang anti-Azmin seperti Farhash Wafa Salvador dan penyokong institusi presiden parti untuk menyingkirkan saki-baki ahli PKR dikaitkan dengan Menteri Kanan (Ekonomi) itu.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan, bukan kesemua saki-baki pemimpin dan ahli parti yang pernah bersama Mohamed Azmin sebelum ini, masih menyatakan kesetiaan penuh kepada bekas Menteri Besar Selangor itu.

Mengandaikan sebilangan mereka mungkin tidak menyangka Azmin sanggup mengkhianati PKR sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.

Hisommudin berkeyakinan, kelompok bekas penyokong Azmin yang masih ada dalam PKR ketika ini, sudah kembali kepada landasan perjuangan sebenar parti.

Hisommudin

"Justeru, menjadi persoalan utama adalah bagaimana dengan sikap kelompok ini pada saat tumpuan utama pemilihan PKR kali ini adalah kisah pertembungan di antara Saifuddin Nasution dan bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden?

"Berdasarkan pemerhatian awal, saya merasakan kelompok bekas penyokong Mohamed Azmin ini pasti sukar menerima Rafizi susulan pertembungan sangat tegang di antara Rafizi-Azmin sewaktu perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR tahun 2018.

"Kelompok ini mungkin berpandangan pemberian sokongan kepada Saifuddin yang dilihat lebih mendukung institusi presiden parti akan membuktikan kesetiaan mereka kepada parti di mata pemimpin dan akar umbi PKR sedia ada.

"Namun, sekiranya Farhash yang diketahui menyokong Saifuddin, menunjukkan sikap agresif untuk menyingkirkan kem bekas penyokong Mohamed Azmin melalui tindakan mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi jawatan Ketua PKR Cabang Gombak, terdapat kemungkinan besar mereka cenderung kembali untuk menerima Rafizi,” ujar Hisommudin lagi.

Berikutan itu, Hisommudin menyifatkan langkah Saifuddin menyatakan pendiriannya untuk bersikap neutral dan tidak memihak kepada mana-mana kem, termasuk kem baju hitam dipimpin Farhash dianggap tepat.

"Perlu diingat, kunci kemenangan kem Saifuddin dan Rafizi pada pemilihan kali ini turut bergantung kepada sokongan saki-baki kem bekas penyokong Azmin yang masih berada di dalam parti itu.

"Dengan Rafizi dan (Ahli Parlimen Permatang Pauh) Nurul Izzah Anwar kini dilihat lunak bersama kelompok ini, terdapat kemungkinan kejutan kekalahan di pihak Saifuddin sekiranya beliau berterusan meminggirkan peranan kem bekas penyokong Azmin ini,” katanya.

Pemilihan PKR penggal 2022-2025 dijangka tidak setajam proses pemilihan PKR tahun 2018 yang menyaksikan parti itu berpecah, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020.

JANGAN LABEL

Sementara itu, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan tindakan pihak tertentu melabelkan kelompok bekas penyokong Mohamed Azmin pada pemilihan PKR tahun 2018 sebagai golongan pengkhianat dan perlu disingkirkan daripada parti, sebagai tidak wajar.

Dengan bekas Ahli Parlimen Batu itu turut dikaitkan dengan kem Azmin, beliau berpandangan ia satu mitos yang sentiasa diuar-uarkan segelintir pihak dalam PKR, seolah-olah berlakunya perbezaan fraksi dalam parti adalah satu proses berkekalan.

Tian Chua

"Walaupun saya dituduh kem Azmin, dalam pemilihan 2018, itu hanya sekali saya memihak kepada beliau.

"Sedangkan dalam pemilihan parti sebelum ini, saya pernah menyokong (seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim yang mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden dan Saifuddin sendiri.

"Justeru, kita tidak seharusnya berpecah dalam isu kepimpinan dan transisi pelapis parti. Atas sebab itu, saya lebih suka untuk mengekalkan status quo tidak menyebelahi mana-mana pihak,” kata Tian Chua.

Klik di sini untuk terus membaca