[PROFIL] Imran Khan dipecat pada Ahad sebagai Perdana Menteri Pakistan selepas kalah undi tidak percaya di Parlimen susulan kemelut politik selama beberapa minggu di negara itu. Imran, 69, hilang majoriti daripada 342 kerusi Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

[PROFIL] Imran Khan dipecat pada Ahad sebagai Perdana Menteri Pakistan selepas kalah undi tidak percaya di Parlimen susulan kemelut politik selama beberapa minggu di negara itu.

Imran, 69, hilang majoriti daripada 342 kerusi Parlimen selepas parti gabungan dan beberapa ahli partinya membelot, dengan pembangkang hanya memerlukan 172 undi untuk menyingkirkannya.

Pemangku Speaker Parlimen, Sardar Ayaz Sadiq berkata, seramai 174 Ahli Parlimen menyokong undi tidak percaya itu sekali gus meluluskan usul berkenaan.

Beliau melakukan segala-galanya untuk kekal berkuasa, termasuk membubarkan Parlimen bagi melaksanakan pilihan raya, namun Mahkamah Agung negara itu berpandangan semua tindakannya adalah tidak sah minggu lalu serta mengarahkan Parlimen bersidang dan membuat undian.

SIAPA IMRAN KHAN?

Nama penuhnya ialah Imran Ahmed Khan Niazi dan dilahirkan pada 5 Oktober 1952.

Beliau dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan ke-22 pada 2018 sehinggalah digulingkan pada Ahad.

Pada 1996, Imran menjadi pengasas dan pengerusi Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) atau Pergerakan Keadilan.

Imran kemudian dipilih menjadi ahli Perhimpunan Kebangsaan mewakili daerah Mianwali pada Oktober 2002.

Pada 14 November 2007, Imran telah ditahan oleh tentera Pakistan ketika menyertai pelajar-pelajar yang berdemonstrasi di luar Universiti Lahore.

Sebelum terjun ke dunia politik, Imran adalah kapten pasukan kriket Pakistan dari 1971 hingga 1992 dan menjuarai Piala Dunia Kriket 1992.

Imran memulakan karier kriket antarabangsa pada usia 18 tahun dalam perlawanan menentang England pada 1971.

Beliau lahir daripada keluarga Pashtun di Lahore dan lulusan daripada Keble College, Oxford pada tahun 1975.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi rektor Universiti Bradford di England dari 2005 hingga 2014.

Imran Khan digelar wira kriket Pakistan selepas membawa negaranya menjuarai Piala Dunia 1992 di Melbourne, Australia.

ANGKAT SUMPAH KETUA NEGARA

Imran mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu pada 18 Ogos 2018 susulan kemenangan parti dalam pilihan raya pada Julai.

Majlis di Rumah Presiden di Islamabad menandakan berakhirnya kepimpinan yang cuma berkisar antara Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) sejak beberapa dekad, selain tempoh pemerintahan tentera.

Imran yang mengalirkan air mata dan mengenakan pakaian tradisional hitam, tersenyum apabila tersasul menyebut beberapa perkataan angkat sumpah yang disaksikan Presiden ketika itu, Mamnoon Hussain.

Sejurus mengangkat sumpah, beliau bersumpah untuk ‘memikul kepercayaan benar dan taat setia kepada Pakistan’ dan ‘menunaikan kewajipan dan melaksanakan tugas dengan jujur, sedaya upaya dan sentiasa mementingkan kedaulatan, integriti, perpaduan, kesejahteraan dan kemakmuran Pakistan.’

Bagaimanapun, pilihan raya itu disifatkan sebagai ‘paling kotor’ dengan tuduhan sepanjang kempen bahawa tentera cuba masuk campur bagi memastikan kemenangan Imran.

Imran dan tentera masing-masing menafikannya.

Penunjuk perasaan membakar patung Imran Khan ketika membantah inflasi yang tinggi, pengangguran dan masalah ekonomi lain di Karachi pada 7 November tahun lalu. - AFP

DESAKAN LETAK JAWATAN

Beberapa minggu sebelum undi tidak percaya di Parlimen, beribu-ribu penyokong pembangkang berhimpun bagi menuntut peletakan jawatan Imran selepas menuduh beliau salah urus ekonomi dan tadbir urus yang lemah.

Kempen mendesak Imran meletak jawatan diterajui oleh Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan bekas Perdana Menteri yang dibunuh, Benazir Bhutto.

Pemimpin pembangkang berkata, Imran telah kehilangan sokongan orang ramai kerana beliau bergelut dengan inflasi yang tinggi, defisit akaun semasa yang meningkat dan rizab asing yang semakin berkurangan.

Imran menolak tuduhan itu dan menjawab bahawa masalah ekonomi akibat pemotongan harga bahan api dan elektrik, sambil menolak gesaan untuk berundur. Beliau juga memberi amaran kepada pembangkang mengenai akibat yang tidak dinyatakan jika mereka memaksa undi tidak percaya.

CAMPUR TANGAN ASING

Sebelum ini, Imran menegaskan bahawa terdapat campur tangan asing dalam kemelut politik dihadapi kerajaannya.

Beliau berkata, sesetengah pihak yang menyokong kempen pembangkang untuk menggulingkannya mungkin tidak menyedari ‘konspirasi’ itu.

Imran adalah pengkritik lama tindakan Pakistan memihak kepada kempen ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.

Baik Imran mahupun kerajaan Pakistan tidak mendedahkan nama negara yang terbabit, namun media merujuknya kepada AS, sebuah negara yang mempunyai hubungan tidak menentu dengan Pakistan.

Imran dalam kenyataan umumnya baru-baru ini berkata negara-negara Barat mahu memaksa Pakistan menyelaraskan dasar-dasarnya dengan mereka dalam isu-isu besar, termasuk perang Rusia-Ukraine.

Sepanjang pentadbiran Imran, kedua-dua Pakistan dan Rusia juga bekerjasama dengan China serta negara jiran lain untuk menstabilkan keadaan di Afghanistan sejak pengunduran tentera AS tahun lalu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca