SHAH ALAM - Orang ramai menyuarakan kebimbangan menghadapi masalah untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman ekoran kereta yang rosak tidak dapat dibaiki disebabkan kekurangan stok cip semikonduktor.
Pekerja swasta, Muhammad Hilmi Shakirin Azhar berkata, keretanya sudah lebih sebulan tersadai di bengkel kenderaan gara-gara alat ganti kenderaan import sukar diperoleh.
"Kereta saya rosak alat elektronik yang dipanggil ‘battery module’ sejak bulan lepas dan pihak bengkel beritahu mereka dah cuba cari alat ganti itu dengan pembekal di merata tempat termasuk di kedai kereta potong tapi tak ada."Sebab masalah ini, saya pun risau mungkin tak ada kereta untuk balik beraya di kampung nanti dan mungkin terpaksa sewa kereta atau balik naik bas,” katanya yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.
Muhammad Hilmi yang tinggal di Shah Alam memberitahu, ekoran masalah itu juga dia ketika ini terpaksa berulang alik pergi kerja dengan menaiki motosikal.
Penyelia tapak projek pembinaan dari Kuantan, Mohd Asri Jaafar, 32, pula menjelaskan, keretanya juga gagal disiapkan bengkel kenderaan sejak dua minggu lalu disebabkan ketiadaan alat ganti.
"Mekanik maklumkan pada saya yang kereta saya rosak cip elektronik dan kebetulan cip itu sejak akhir-akhir ini tak ada stok.
"Bila dia cakap begitu, saya hanya mampu tepuk dahi sebab tak tahu bila kereta boleh siap sedangkan raya nanti saya tiga beranak nak balik kampung isteri di Kota Bharu, Kelantan. Kalau lambat siap, memang payahlah saya sekeluarga untuk balik nanti,” ujarnya.
Sementara itu, kerani, Asiah Mohamad, 29, memaklumkan, dia mungkin terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk membaiki keretanya kerana setakat ini alat ganti keretanya tidak ada stok.
"Pemilik bengkel bagitahu saya, alat ganti kereta saya tak ada stok dari pembekal tempatan jadi kalau nak kereta siap cepat, barang itu mungkin kena tempah dari pembekal luar negara.
"Harganya memang mahal berlipat kali ganda. Sekarang saya masih belum buat keputusan lagi sebab tak mahu habis ribuan ringgit untuk kereta semata-mata sebab untuk sambut raya, kena pakai banyak duit untuk beli baju dan persiapan raya yang lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengajar institut kemahiran, Muzir Salim memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan pusat servis bahawa alat ganti keretanya yang rosak sejak Oktober tahun lalu hanya akan sampai pada Jun nanti.
"Bayangkan saya terpaksa tunggu kira-kira sembilan bulan untuk dapatkan alat ganti sebab masalah kekurangan cip semikonduktor global ini.
"Kereta saya kereta import dan baharu dua tahun pakai serta masih dalam tempoh jaminan. Pusat servis cakap kereta saya rosak ‘steering module’. Tapi mujur kereta masih boleh dinaiki, cuma pemanduan saja kurang selesa,” kata bapa kepada empat anak itu.
Dalam pada itu, menurut operator pengeluaran, Rashida Mohd, 32, keretanya sudah lama rosak sejak ditenggelami banjir pada Disember lalu.
"Mungkin sebab lama tenggelam air, pihak bengkel cakap kereta saya rosak salah satu cip semikonduktor di bahagian enjin dan sampai sekarang katanya belum ada stok alat ganti lagi.
"Pening juga kepala fikirkan masalah ni sebab saya sangat-sangat perlukan kereta untuk pergi dan balik kerja serta hantar anak ke rumah pengasuh.
"Sekarang buat sementara waktu saya terpaksa tumpang suami walaupun laluan ke tempat kerja suami dan saya berbeza. Terpaksalah dia hantar saya dan anak dulu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca