EPISOD Julai 2019 berulang. Usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan dasar Undi 18 tergendala sedikit ekoran usaha minit-minit terakhir untuk membawa peruntukan tambahan, yakni pendaftaran pemilih secara automatik.... Klik di sini untuk terus membaca

EPISOD Julai 2019 berulang. Usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan dasar Undi 18 tergendala sedikit ekoran usaha minit-minit terakhir untuk membawa peruntukan tambahan, yakni pendaftaran pemilih secara automatik. Susulan perbincangan mendalam akhirnya kedua-dua komponen itu diluluskan dengan 211 anggota Dewan Rakyat menyokong, melebihi jumlah 148 sokongan yang diperlukan.

Ia satu kejayaan luar biasa ketika ramai tidak yakin pindaan Perlembagaan Persekutuan boleh diluluskan dengan mengambil persekitaran politik pada masa itu; tidak ada sokongan mutlak dua pertiga.

Pada hari ini, senario hampir sama muncul pada saat-saat akhir. Usaha memperkenalkan peruntukan khusus bagi mengekang wakil rakyat daripada melompat parti tersekat sekali lagi. Sepatutnya dibahaskan semasa sidang Parlimen bulan lepas tetapi terpaksa dibawa ke sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.Setuju, okey, tidak jadi, ditangguh, dan tertunda lagi.

Orang ramai yang sudah pun kecewa dengan siri politiking sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) empat tahun lalu, terus hanyut dengan persekitaran tidak konsisten bagi menggubal satu undang-undang konkrit bagi mengakhiri budaya lompat parti.

Kenyataan yang dikeluarkan beberapa anggota kabinet dan pemimpin parti komponen kerajaan yang memerintah menunjukkan mereka masih belum jelas mengenai definisi melompat parti.

Nampaknya selepas lapan bulan perbincangan yang mendalam, tidak ada formula yang jelas mengenai definisi lompat parti dan antilompat parti. Masih belum ada kesudahan. Butiran yang dikeluarkan setakat Sabtu lalu menunjukkan definisi itu belum cukup jelas. Di mana kesilapan? Apakah misteri yang menyelubungi usaha murni ini!

SISTEM DEMOKRASI

Sementara tarik tali dalam memberi dan mendapatkan sokongan merupakan perkara normal dalam proses penggubalan undang-undang dalam sistem demokrasi, meletakkan atau membawa syarat-syarat baharu menimbulkan polemik yang tiada kesudahan.

Bercakap kepada media Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengakui beliau kecewa apabila rang undang-undang yang telah mengambil masa selama lapan bulan ini tidak dapat dibentang.

Bagaimanapun sebagai anggota kabinet, beliau menerimanya sebagai tanggungjawab bersama. "Perasaan peribadi saya tak penting tetapi memang kecewa. Selepas buat kerja lapan bulan, ada tersangkut sedikit, memang terasalah. Tetapi semua (dalam mesyuarat) sudah tahu yang Wan Junaidi (rasa) tak berapa syok (puas hati),” kata Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).Undang-undang antilompat parti merupakan komponen kritikal dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH). Majlis PH menuntut sidang khas kedua bagi meluluskan RUU Anti Lompat parti ditetapkan hari ini.

Sebagaimana ditekankan oleh PH, ramai percaya dengan meluluskan pindaan perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dan Demokrasi Berparlimen yang telah terhakis dapat dipulihkan.

Harapan ramai RUU khusus ini akan digubal dan dikuatkuasakan menjelang PRU15. Kita telah saksikan pelaksanaan Undi 18 mengambil masa lebih dua tahun termasuk membawa keputusan perintah pelaksanaan oleh mahkamah.

Maka, diharap RUU Anti Lompat parti tidak akan mengalami nasib yang sama. Penggubalan satu undang-undang lengkap dan pelaksanaan secara terancang perlu diberi keutamaan.

Semuanya bergantung pada iltizam politik kesemua pemegang taruh. Hanya iltizam politik yang mampu merealisasikan harapan rakyat. Leraikan misteri yang menguasai gelanggang politik, dikhuatiri boleh menjadi kekangan tidak diundang.

* Dr G Manimaran ialah penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca