RAMADAN ialah bulan Quran atau ‘shahr al-Quran’. Ramadan juga ialah pesta iman atau ‘mahrajan al-iman’. Bagi setiap lapisan masyarakat yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya SAW, Ramadan membawa keberkatan serta kerahmatan dari... Klik di sini untuk terus membaca

RAMADAN ialah bulan Quran atau ‘shahr al-Quran’. Ramadan juga ialah pesta iman atau ‘mahrajan al-iman’. Bagi setiap lapisan masyarakat yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya SAW, Ramadan membawa keberkatan serta kerahmatan dari sudut kerohanian, psikologi, fizikal dan masyarakat.

Sedang kita mendampingi, membaca dan menghayati al-Quran, pelbagai pengajaran yang dapat kita jadikan pedoman hayat.

Antara banyak istilah al-Quran yang menarik perhatian saya ialah perkataan ‘wajah’.

Ia berbunyi ‘wajh’ dalam bahasa Arab; dan dieja dengan abjad Arab: wau-jim-ha.

Istilah ini ditulis dengan pendekatan nahu yang pelbagai. Berikut ini saya menukil maksud lima ayat al-Quran yang mengandungi istilah wajah ini.

Pertama ialah ayat 27 surah ar-Rahman (55:27). "Dan akan kekallah Wajah Tuhanmu, Empunya Kebesaran dan Kemuliaan.”

‘Empunya Kebesaran dan Kemuliaan’ boleh dibaca menerusi transliterasi Dhū al-Jalāl wa al-Ikrām. Kita yang beriman akan berasa gementar apabila menyebut dan memahami makna hujung ayat ini.

Kedua ialah sebahagian daripada ayat 28 surah al-Kahfi (18:28). "Dan bersabarlah engkau bersama orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dan mengharapkan wajah-Nya...”

Pengharapan kepada wajah ALLAH SWT bermakna hamba yang beriman mengharapkan keredaan-Nya. Bukankah itu pengakhiran segala usaha dan peristiwa dalam dunia yang fana ini? Yakni mendambakan keredaan serta kasih Tuhan Maha Esa yang bernama ALLAH.

Banyak hadis Nabi SAW yang menggambarkan betapa hamba beriman dan beramal soleh mendapat berita gembira di dunia sebagai persiapan hidupnya di akhirat.

NIKMAT TERTINGGI

Memikirkan kekalnya ‘Wajah Tuhan’ membawa ketenangan kepada kita. Semua ciptaan adalah fana dan hayat pinjaman ini akan lenyap. Kita berjalan dan berlari di atas dunia ini untuk akhirnya bersama-sama ALLAH yang kekal.

Ketiga ialah ayat 29 surah al-Fath (48:29). "Nabi Muhammad ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang-orang kafir yang dan sebaliknya bersikap kasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia serta keredaan. Tanda mereka terdapat pada muka mereka daripada kesan sujud...”

Sudah tentu sikap kekerasan yang dilakukan terhadap orang kafir ialah golongan kafir yang memerangi umat Islam serta menzalimi manusia lain yang mahukan kedamaian. Umat Islam tidak boleh menzalimi orang kafir semata-mata kerana mereka kafir.

Keempat ialah ayat 66 surah al-Ahzab (33:66). "Hari dibalikkan muka mereka dalam neraka, mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kami dahulu taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.”

‘Tuqallabu wujūhuhum fin-nār’ bermakna muka mereka dibalikkan dalam neraka. ‘Tuqallabu’ mempunyai akar kata dengan abjad qaf-lam-ba yang juga menjadi akar kata bagi istilah qalbu yang merujuk kepada bahagian jiwa manusia yang berbolak-balik. Bagi orang yang beriman, gambaran ini sudah tentu menakutkan dan ini mendorongnya berbuat baik di dunia ini.

Kelima ialah ayat 22 surah Luqmān (31:22): "Dan sesiapa yang berserah wajahnya kepada ALLAH sedang dia seorang muhsin, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan yang teguh; dan kepada ALLAH kesudahan segala urusan.”

Muhsin ialah insan yang terbaik dalam kalangan orang yang beriman. Apabila kita mengasihi ibu bapa atau manusia lain, kita akan suka menghadapkan muka kita kepada mereka. Orang yang berkasih sayang amat suka saling memandang antara satu sama lain. Apatah lagi bagi insan yang mengasihi Tuhan, dia mahu memandang-Nya. Di syurga nanti, nikmat tertinggi ialah memandang ‘wajah’ ALLAH SWT.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca