SHAH ALAM - Semua Ahli Dewan Negara terutama mereka dilantik oleh parti politik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu terikat dengan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan 2022 dan RUU Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua Ahli Dewan Negara terutama mereka dilantik oleh parti politik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu terikat dengan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan 2022 dan RUU Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat, dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau melihat langkah itu perlu kerana institusi Dewan Negara adalah sama pentingnya dengan Dewan Rakyat dalam proses penggubalan dan meluluskan sesuatu undang-undang atau RUU.

Ini kerana kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, Dewan Rakyat sahaja tanpa Dewan Negara tidak boleh meluluskan apa-apa RUU tanpa melalui kedua-dua dewan terbabit.

Malah, Nazri berkata, kalau dilihat dari segi protokol kedudukan Dewan Negara adalah lebih tinggi berbanding Dewan Rakyat biarpun ahlinya terdiri daripada mereka yang dilantik sahaja.

"Saya mahu sebut bahawa Ahli Dewan Negara juga mestilah terikat dengan 'lompatan' (pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti) kerana kita sedia maklum kerana sebahagian daripada ahlinya adalah dilantik oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sekali gus mereka mereka juga dipilih oleh rakyat.

"Sebahagian mereka juga adalah lantikan politik. Jika mereka bukan orang kuat sesebuah parti politik maka nama mereka dicalonkan untuk menjadi ahli Dewan Negara dari peringkat negeri.

"Oleh itu, senator berkenaan perlu terikat soal lompatan ini kerana pernah berlaku dalam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) apabila sebahagian besar daripada Ahli Dewan Negara lantikan Barisan Nasional (BN) telah keluar beramai-ramai menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Walaupun ada dalam kalangannya mengatakan bahawa mereka 'berkecuali' dan dilantik mewakili kumpulan tertentu tetapi apa yang berlaku Ahli Dewan Negara dilantik oleh DUN tanpa dipaksa atau disuruh dan secara sukarela mereka 'melompat' dan akhirnya mereka menolak RUU Anti Berita Tidak Benar. Kalau ikut kerajaan BN terdahulu mereka sepatutnya sokong. Jadi kita terkesan dengan sikap mereka," katanya.

Nazri berkata demikian ketika membahaskan pindaan RUU Perlembagaan (No. 3) 2022 bagi menambah fasal 3A dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebaik sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pagi tadi.

Wan Junaidi dipetik sebagai berkata RUU berkenaan dibentangkan bertujuan meminda Perkara 10 dengan memasukkan fasal 3A selepas fasal 3 bagi sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan c fasal 1 yang berhubung dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

Justeru itu, Nazri mencadangkan bahawa Ahli Dewan Negara dimasukkan dalam Pindaan Perlembagaan yang dibentangkan dan dibahaskan pada hari ini.

Klik di sini untuk terus membaca