SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencuri tumpuan pada hari terakhir penghantaran pencalonan bagi pemilihan parti itu untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencuri tumpuan pada hari terakhir penghantaran pencalonan bagi pemilihan parti itu untuk penggal 2022/2025.

Kedua-dua mereka bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden di samping Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subramaniam.

Farhash Wafa sebelum ini membuat kejutan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang kembali tampil dalam arena politik setelah sekian lama menyepikan diri.

Bagaimanapun beliau menyatakan tidak bertanding untuk jawatan berkenaan seperti yang diumumkannya sebelum ini adalah bagi memberi laluan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertanding jawatan tersebut melawan Rafizi.

"Sebenarnya banyak sokongan daripada akar umbi meminta saya pergi ke Timbalan Presiden.

"Macam kenyataan media saya sebelum ini saya bagi laluan kepada Saifuddin Nasution untuk bertanding Timbalan Presiden melawan Rafizi,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan memberikan sokongan kepada aktivis mahasiswa, Adam Adli dan pengamal undang-undang, Senator Fadhlina Sidek yang masing-masing bertanding untuk jawatan Ketua AMK dan Ketua Wanita.

Bagi Fahmi pula, beliau menyatakan bahawa gementar apabila membuat keputusan bertanding untuk jawatan berkenaan.

"Kalau sebelum ini saya selalu mengiring pimpinan yang lain, tetapi kali ini saya diiring. Harapan saya (adalah) untuk pertandingan yang sihat dengan meraikan demokrasi,” katanya di ibu pejabat PKR pada Isnin.

Pengarah Komunikasi PKR itu menambah, sekiranya dipilih sebagai Naib Presiden, beliau akan berusaha untuk mengukuhkan struktur parti.

"(Bagi) memastikan bahawa segala yang telah berlaku selepas Langkah Sheraton itu bukan sahaja kita bersihkan tetapi kita bina yang lebih baik daripada yang dahulu,” katanya.

Menurutnya, pemilihan parti itu kali ini juga merupakan suatu peluang yang baik untuk pimpinan dan akar umbi mengukuhkan saf.

"Di samping kita bercakap soal pemilihan, kita juga mengaktifkan akar umbi untuk berhadapan dengan kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca