SHAH ALAM - Pakar motivasi, Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad berpendapat, menegur seseorang itu perlulah dengan penuh kasih sayang, bukannya sombong dan pandang hina.
Beliau berkata, sekiranya teguran itu diberikan dengan sifat sedemikian, maka ia akan mendatangkan perkara yang positif.
"Nak memberi teguran mesti penuh dengan kasih sayang. Insya-ALLAH setiap apa yang kamu lakukan, mesti datang daripada kasih sayang, bukannya rasa diri itu lebih daripada orang lain, sombong dan pandang hina.
"Jika kamu beri dengan penuh kasih sayang, maka apa yang akan sampai kepada kamu adalah perkara yang baik,” katanya ketika program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Mata Hati Muhaya’ yang dihoskan Hazlin Hussain dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Dr Muhaya, satu nama besar yang cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia dengan bait-bait ayat yang dapat memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mendengarkannya.
Ketokohan dan pengaruhnya selama lebih dua dekad begitu besar dalam landskap motivasi diri sehingga berjaya mengubah minda masyarakat untuk berubah menjadi lebih baik, menerusi inspirasi diberikan.
Mengulas lanjut, beliau yang lebih mesra disapa bonda berkata, antara moto peribadinya ialah setiap hari mencari reda ALLAH dan membebaskan diri daripada mencari penghargaan manusia.
Beliau juga tidak akan terkesan dengan sesetengah individu yang tidak menyukai nasihat yang diberikannya itu.
"Katalah kalau orang nak marah apa yang bonda sampaikan. Bonda tak marah dengan orang itu sebab bonda faham cermin mata dia masih kelabu, dia tak nampak lagi.
"Bonda akan cuba bersih dan lap cermin mata dia. Kalau dia rabun hati lagi, kita nak celikkan hati dia dengan memberikan kasih sayang dan mendoakan.
"Jadi bonda sudah set dalam diri bonda, bonda tak akan terkesan. Sama ada orang puji ataupun keji, bonda akan buat biasa-biasa sahaja,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Klik di sini untuk terus membaca