SHAH ALAM - Selepas 59 ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang berbahas, akhirnya Dewan Rakyat menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti, menggubal dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas 59 ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang berbahas, akhirnya Dewan Rakyat menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti, menggubal dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan RUU berkaitan larangan ahli Parlimen menukar parti politik.

Ini susulan usul dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendapat sokongan suara majoriti ahli Dewan Rakyat yang menghadiri sesi Mesyuarat Khas Parlimen, pada Isnin.

Berikutan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengerusikan oleh Wan Junaidi dan 10 ahli Parlimen lain diberi tempoh sebulan untuk meneliti, memuktamadkan dan mengemukakan semula pindaan kedua-dua RUU berkenaan kepada Dewan Rakyat, sebelum akhir Mei depan.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

Sepuluh ahli Parlimen lain yang dipilih menjadi ahli jawatankuasa berkenaan termasuklah Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu).

Turut menjadi ahli jawatankuasa berkenaan ialah, Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Gobind Singh Deo (Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution (Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang).

"Jawatankuasa ini juga diberikan kebebasan untuk menjemput mana-mana pihak berkaitan seperti ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan-badan bukan berkepentingan (NGO) dan masyarakat madani serta individu lain untuk hadir ke persidangannya dari semasa ke semasa.

"Mereka juga boleh menentukan sendiri penjadualan dan lokasi persidangan jawatankuasa berkenaan sama ada mahu diadakan di Parlimen atau di mana-mana tempat lain mengikut kesesuaian dan peruntukan disediakan oleh Ketua Pentadbir Parlimen," kata Wan Junaidi ketika mengulung perbahasan mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Parlimen, pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Junaidi mengesahkan seramai 59 orang ahli Dewan Rakyat telah mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan RUU Perlembagaan hari ini.

Beliau berkata perbahasan RUU berkenaan antara lain berkaitan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan punca kuasa (enabling clause) bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

"Sebelum Mesyuarat Khas ini bermula, satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara kerajaan dan Pakatan Harapan telah diadakan hari ini dan 3 perkara telah dipersetujui iaitu pertama, penelitian dan pengkhususan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

"Kedua, cadangan untuk memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu; dan ketiga menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti," katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi dalam ucapan penggulungannya berkata beliau mengambil maklum mengenai pelbagai perkara dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Seremban, Sungai Buloh, Bukit Gelugor dan Parit Buntar berhubung isu Perkara 10 Fasal 3A yang dikatakan tidak mengkhusus kepada cadangan gubalan akta larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Anwar ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Isnin. Foto Bernama

"Ahli Parlimen Pengerang juga menimbulkan persoalan yang sama menyatakan bahawa cadangan pindaan Perkara 10 Fasal 3A adalah terlalu luas dan tidak jelas (lack clarity) dan boleh menimbulkan kekeliruan.

"Terdapat cadangan daripada Ahli-ahli Berhormat untuk memasukkan tafsiran larangan bertukar parti dalam Perlembagaan Persekutuan supaya pindaan yang akan dilaksanakan tidak memberikan kuasa yang besar kepada mana-mana pihak untuk menggubal undang-undang lain yang akan menghadkan kebebasan Ahli Parlimen," katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, ketika perbahasan ahli Parlimen juga mengemukakan persoalan mengenai keperluan Perkara 48(6) iaitu tempoh masa bertenang selama 5 tahun kepada ahli-ahli Parlimen dimansuhkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat.

"Ingin saya nyatakan di sini bahawa keputusan dasar pada asalnya adalah untuk mengecualikan pemakaian Perkara 48 (6) kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang kehilangan kerusi akibat bertukar parti. Bermakna tempoh bertenang 5 tahun tidak terpakai kepada ahli yang bertukar parti dan mereka boleh bertanding semula untuk pilihan raya seterusnya.

"Ahli Parlimen Pagoh pula telah membangkitkan persoalan mengenai keperluan untuk mengkaji semula ouster clause dalam seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menjelaskan bahawa apa-apa keputusan daripada parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah atas apa jua alasan. Dalam hal ini, Jawatankuasa Pilihan Khas akan meneliti dan mempertimbangkan keperluan pelaksanaan cadangan ini.

RECALL ELECTION

"Saya juga ingin menarik perhatian persoalan ahli Parlimen Pengerang dan Sibuti mengenai cadangan remedi 'recall election' atas alasan supaya mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukan ahli Dewan Rakyat.

"Ingin saya nyatakan bahawa perkara ini memerlukan kajian yang mendalam supaya isu-isu lain yang berbangkit oleh diteliti terutamanya dengan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Cadangan ini juga akan diambil kira dan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas," katanya.

Mengulas mengenai cadangan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Sempona, Kota Belud dan Kinabatangan, Wan Junaidi berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga akan meneliti isu larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti hanya dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja tanpa perlu digubal suatu akta khusus.

"Saya mengambil maklum dan akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas memandangkan Jabatan Peguam Negara telahpun menyediakan draf awal Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan yang komprehensif sebelum ini berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Justifikasi pada ketika itu adalah untuk memastikan suatu peruntukan yang kukuh dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan bersedia meneliti cadangan supaya Ahli Dewan Negara dimasukkan sekali dalam klausa RUU berkaitan larangan melompat parti yang akan dibentangkan ke Parlimen pada bulan depan.

Katanya, perkara itu perlu susulan cadangan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Potian, Julau dan Langkawi dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini.

"Saya perlu nyatakan bahawa dasar Kerajaan sebelum ini tidak mengambil kira pendekatan ini untuk ahli Dewan Negara. Ini adalah kerana wakil Dewan Negara dilantik Yang di-Pertuan Agong dan ramai juga yang dilantik atas kecemerlangan dalam profesion masing-masing tanpa sebrang kaitan dengan parti politik.

"Bagaimanapun, terdapat juga ahli Dewan Negara yang dilantik negeri yang rata-ratanya mempunyai kaitan dengan parti politik masing-masing. Oleh itu, Jawatankuasa Pilihan Khas ini boleh meneliti keperluan pemakaian akta ini kepada sesetengan ahli Dewan Negara yang ada kaitan dengan parti politik," katanya.


INFO


SIAPA AHLI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS

- Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri di Jabatan Perdana) (Pengerusi)

- Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang)

- Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas)

- Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut)

- Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu)

- Lukanisman Awang Sauni (Sibuti)

- Gobind Singh Deo (Puchong)

- Mohamed Hanipa Maidin (Sepang)

- Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran)

- Datuk Seri Saifuddin Nasution (Kulim Bandar Baharu)

- Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang)

Klik di sini untuk terus membaca