Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara, Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan seorang lagi calon lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, ketika dihubungi wartawan Sinar Premium mengesahkan sehingga jam 9 malam tadi, seramai 17 individu sudah mengemukakan permohonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini.
Antara calon disahkan bertanding jawatan Naib Presiden PKR ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut mencuba nasib untuk mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden ialah bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.
Pemimpin lain ialah ADUN Hutan Melintang, G Manivannan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran; ADUN Sentosa G Gunarajah; bekas ADUN Bandar, Azan Ismail; ADUN Chuah, Yek Diew Ching; Naib Pemuda AMK, S Thiban; Mustaffa Kamil Ayub; R Summugam.
EMPAT DIPILIH, TIGA DILANTIK
Bagaimanapun, Dr Zaliha berkata, angka berkenaan masih belum muktamad dan menunggu kelulusan JPP kerana proses pencalonan pimpinan utama Majlis Pimpinan Parti akan ditutup pada jam 11.59 malam ini.
"Alhamdulillah, setakat ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon tunggal menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden PKR, manakala dua individu mengemukakan pencalonan untuk merebut kerusi Timbalan Presiden dan bagi kerusi Naib Presiden pula bakal ditandingi oleh 17 calon.
"Pertandingan bagi merebut jawatan Naib Presiden PKR memang meriah kerana masing-masing mempunyai keistimewaan, kelebihan dan misi tersendiri untuk menentukan hala tuju parti, pada masa depan," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.
Untuk rekod Perlembagaan PKR, menetapkan hanya empat individu yang akan diangkat sebagai Naib Presiden manakala tiga lagi dilantik atas kapasiti lantikan parti.
Sementara itu, bagi kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), hanya dua calon yang mengemukakan pencalonan iaitu Fahmi Zainol dan Adam Adli Abdul Halim.
Bagi kerusi Ketua Wanita PKR, dua calon mengemukakan pencalonan mereka iaitu ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Senator Fadhlina Sidek.
Berikutan itu, Dr Zaliha berkata, beliau menyerahkan kepada ahli PKR untuk membuat pilihan dan menentukan pemimpin mana yang bakal menerajui parti pada masa depan.
"Saya juga ingin memberi amaran bahawa kita tidak akan bertolak ansur dan berkompromi terhadap mana-mana ahli dan pemimpin parti yang dikesan mengamalkan 'politik wang' untuk memenangi jawatan dalam pemilihan parti kali ini.
"Malah, JPP juga tidak teragak-agak untuk membatalkan mana-mana pencalonan pemimpin PKR yang didapati melanggar disiplin parti dan mengamalkan politik wang semasa pemilihan nanti," katanya. Klik di sini untuk terus membaca