SEBAGAI sebuah negara maritim, setelah merdeka, kejayaan pembangunan negara boleh dikatakan banyak bergantung kepada aktiviti dan hasil yang berada dalam kawasan maritim negara. Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang kedua terbesar... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAI sebuah negara maritim, setelah merdeka, kejayaan pembangunan negara boleh dikatakan banyak bergantung kepada aktiviti dan hasil yang berada dalam kawasan maritim negara.

Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang kedua terbesar menghasilkan minyak dan gas, manakala pernah dianggap sebagai pengeksport cecair gas asli ketiga terbesar dunia.

Malaysia juga menghasilkan kira-kira 800,000 tan hasil tangkapan hidupan laut setiap tahun.

Kesinambungan kemakmuran dan aktiviti ekonomi boleh dikaitkan terus dengan kewujudan pelabuhan-pelabuhan utama di pesisir pantai yang setiap hari memproses kira-kira 80 peratus dari keseluruhan aktiviti import dan eksport negara.

Kedudukan Malaysia juga adalah strategik memandangkan ia berada di titik utama Laluan Perhubungan Laut (SLOC - Sea Lines of Communications).

Dianggarkan melebihi 70,000 kapal dagang pelbagai jenis belayar melalui Selat Melaka setiap tahun.

Jumlah dagangan yang dibawa pula adalah kira-kira 525 juta tan metrik bernilai AS$390 bilion.

Ini menjadikan selat tersebut sebagai antara laluan komersial paling sibuk di dunia.

Dari sudut geografi, keseluruhan kawasan perairan negara termasuk kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ- Exclusive Economic Zone) berjumlah 574,000 kilometer persegi manakala keseluruhan pantainya adalah sepanjang 4,675 kilometer. Ini berbanding keseluruhan keluasan daratan negara yang hanya berjumlah 330,000 kilometer persegi.

Keunikan Malaysia ialah ia mempunyai dua kawasan terpisah oleh Laut China Selatan, membentuk Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

11 JUTA TONG MINYAK

Dengan pelbagai fakta yang diketengahkan ini, tidak dapat dinafikan bahawa sejak dahulu, hari ini dan masa akan datang, kawasan perairan negara adalah antara aset semula jadi yang kritikal kepada kemakmuran, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.

Oleh kerana kepentingan terhadap negara, tentunya ia perlu diawasi dan dilindungi memandangkan sebarang bentuk ancaman, baik yang sedia ada, diketahui atau persepsi perlu diberi perhatian.

Ini kerana jika gagal dibendung, teras kepada kestabilan dan kegiatan ekonomi negara mungkin bakal bergoyang, malah mampu diruntuhkan.

Kehendak global bagi penjanaan tenaga bagi tujuan industri masa hadapan akan terus menyebabkan perairan negara diintai oleh pelbagai pihak sebagai ghanimah yang amat bernilai.

Menurut kajian Amerika Syarikat, Laut China Selatan mengandungi sejumlah kira-kira 11 juta tong minyak mentah dan 190 trilion kaki persegi gas asli.

Sebahagian darinya tentu berada di kawasan EEZ negara.

Bagi Malaysia simpanan minyak dan gas asli ini boleh didapati dalam kawasan EEZ yang terletak di utara kepulauan Borneo.

Sumber asli ini pula kebanyakannya hanya boleh didapati pada kedalaman antara 200 ke 1,200 meter yang memerlukan pelaburan dan kos tinggi untuk dibawa keluar.

Tanggungjawab utama untuk melindungi perbatasan samudera dan memulihara aset-aset ekonomi di kawasan sempadan perairan negara serta kawasan EEZ sememangnya adalah tanggungjawab utama angkatan laut negara iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dengan berlakunya pertindihan tuntutan terhadap hasil di kawasan perairan bukan sahaja melibatkan negara serantau, tetapi juga kuasa-kuasa besar global, usaha mengawasi dan melindungi kawasan EEZ memerlukan jumlah platform dan aset yang mencukupi.

Jika sumber pendapatan dan kegiatan ekonomi negara banyak disandarkan kepada hasil dari perairan negara maka tentunya kemahuan agensi yang diberikan amanah untuk menjaganya juga perlu diberi perhatian.

Jumlah aset atau platform TLDM yang dikerah untuk mengawasi perairan negara hari ini boleh dianggap berada pada tahap amat minimum dan membimbangkan jika dinisbahkan kepada kawasan yang perlu mereka awasi.

Adilkah kita kepada TLDM jika 80 peratus aktiviti import eksport sektor ekonomi negara bergantung kepada laluan perairan yang aman hasil usaha TLDM sekian lama, namun aset yang digunakan mereka ada yang telah usang menjangkau usia berpuluh tahun?

TLDM hari ini boleh dianggap sebagai Sang Harimau, membawa gelaran Raja Rimba yang digeruni di perairan negara. Namun kukunya semakin tumpul dan taringnya juga telah sumbing, mengalahkan babi liar pun mungkin diragui, apa lagi Sang Gajah!

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca