SHAH ALAM - Pelaksanaan pemberian kredit e-tunai bernilai RM150 kepada golongan belia berusia bakal memacu negara untuk meningkatkan lagi kecekapan sistem kewangan urus niaga negara. Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelaksanaan pemberian kredit e-tunai bernilai RM150 kepada golongan belia berusia bakal memacu negara untuk meningkatkan lagi kecekapan sistem kewangan urus niaga negara.

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, inisiatif tersebut dilihat suatu kesinambungan daripada program galakan penggunaan wang digital yang mula dilaksanakan kerajaan sejak 2018.

"Tentunya RM150 bukan satu jumlah yang besar. Tapi kita bukan nak melihat kesan daripada RM150 itu namun kita nak lihat kesan terhadap tabiat dan budaya kewangan serta perbelanjaan.

"Jadi inisiatif ini sebenarnya adalah langkah permulaan. Perubahan hanya akan dapat dilihat dalam tempoh jangka sederhana dan panjang,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, golongan belia sememangnya merupakan kumpulan yang sudah terbiasa dengan penggunaan wang digital antaranya melalui pembelian dalam talian.

Bagaimanapun beliau berkata, berkata, trend perbelanjaan wang digital dalam kalangan belia perlu dipandu agar ia lebih terarah kepada tujuan untuk membeli barangan keperluan berbanding hiburan.

"Sebagai contoh, di Malaysia ini peratusan pembelian untuk permainan video oleh belia adalah 57 peratus manakala perbelanjaan untuk rangkaian sosial pula adalah 55 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, Barjoyai berkata, peralihan negara ke arah mata wang digital itu bakal mempercepatkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi negara kerana ia akan membolehkan urus niaga dilaksanakan dengan lebih efisien.

Menurut beliau, negara ketika ini menyasarkan untuk mencapai kadar penggunaan e-tunai antara 80 ke 90 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Katanya, pertumbuhan penggunaan e-tunai negara ketika ini dilihat agak perlahan berbanding negara jiran meskipun kadar penggunaan platform Malaysia adalah tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara.

RINGAN BEBAN ANAK MUDA

Dalam pada itu, pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Muhammad Ridzwan Yusri, 19, berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa untuk mengeluarkan wang perbelanjaan kepada mereka.

Ridzwan

"Pemberian ePemula ini sangat membantu saya yang sedang meneruskan pengajian di IKTBN.

"Saya dapat menggunakan duit ini untuk membeli barang keperluan seperti makanan atau barang peribadi, jadi dapatlah kurangkan ibu bapa beri duit belanja kepada kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang layak boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program ePemula, mulai Isnin.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan kerajaan di bawah Belanjawan 2022 untuk program ePemula tersebut.

Dalam pada itu, Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Arina Zulkifly, 20, berkata, bantuan yang diberikan itu bernilai bagi mereka dalam kalangan golongan B40.

Arina Zulkifly

"Alhamdulillah, memandangkan saya masih lagi menyambung pelajaran di salah sebuah IPTA di Terengganu, saya rasa bertuah kerana dengan adanya e-tunai ini dapat membeli buku rujukan tambahan.

"Ini juga termasuk membeli data internet yang secukupnya untuk membolehkan saya mengakses bahan-bahan rujukan lain,” ujarnya.

Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Muhammad Irfan Haziq Mohd Rahimi, 20, pula berpendapat, ePemula dapat membantu mereka membeli keperluan dan persediaan sebagai bakal guru.

Muhammad Irfan

"Dengan adanya e-tunai ini, banyak keperluan harian yang saya boleh beli terutamanya buku-buku ilmiah.

"Pemberian e-tunai ini sangat penting dalam membantu ringankan perbelanjaan kami,” jelasnya.Sementara itu, pelajar Kolej Breyer Gombak, Muhammad Faizal Mohamad Ali, 20, berharap penggunaan bantuan tersebut tidak dihadkan kepada mana-mana tempat pembelian.

Menurutnya, ia kerana sesetengah tempat yang berdekatan dengan kolej kediaman tidak mempunyai perkhidmatan e-tunai.

"Bantuan e-Pemula memang membantu siswa dan siswi tapi yang dikesali adalah penggunaan e-tunai itu sendiri sangat terhad seakan-akan tidak memberi peluang kepada penerima untuk menggunakannya dengan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Nurul Yushaida Mohamad Yunus, 23, berkata, tempoh pendaftaran ePemula yang dibuka mulai semalam sehingga 1 Jun itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar tiada penerima terlepas pandang.

Program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2022 (lahir pada 2002 hingga 2004) atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar.

Perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

Klik di sini untuk terus membaca