PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pernah menyatakan bahawa negaranya tidak akan menghantar tentera berperang ke Ukraine. Beliau juga tidak menafikan bahawa sebarang tindakan berkonfrontasi secara langsung antara Pertubuhan... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pernah menyatakan bahawa negaranya tidak akan menghantar tentera berperang ke Ukraine.

Beliau juga tidak menafikan bahawa sebarang tindakan berkonfrontasi secara langsung antara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang turut dianggotai AS dengan Rusia akan menyebabkan terjadinya Perang Dunia Ketiga.

Biden juga pernah menyatakan semasa berucap di Warsaw, Poland pada bulan lalu bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin tidak boleh kekal berkuasa di Rusia.

Ucapannya itu menyebabkan Rumah Putin terpaksa membuat penjelasan bahawa pemimpin AS berkenaan sebenarnya tidak mencadangkan perubahan rejim berlaku di negara tersebut.

Bagaimanapun, Presiden AS itu enggan menarik balik kenyataannya dengan alasan bahawa beliau hanya menyuarakan kemarahan peribadi dan sebenarnya tidak menggariskan dasar negaranya yang mahu Putin digulingkan.

Berikutan ucapannya itu, seorang pegawai Rumah Putih terpaksa menjelaskan tentang kenyataan Biden itu.

Pegawai itu berkata, apa yang dimaksudkan Biden itu ialah Putin tidak boleh dibenarkan menggunakan kuasa ke atas Ukraine dan Presiden AS tersebut sebenarnya tidak membincangkan tentang kuasa Presiden Rusia tersebut di negaranya.

Penjelasan itu penting kerana ia mempunyai kaitan tentang dasar-dasar luar negara AS.

Sebelum ini iaitu pada awal bulan Mac 2021 lagi, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken telah menolak untuk melaksanakan dasar perubahan rejim sebagai prinsip utama pendekatan diplomatiknya.

Beliau juga berjanji untuk tidak mempromosikan demokrasi dengan menggunakan pendekatan campur tangan ketenteraan atau cuba menggulingkan rejim autoritarian menggunakan pendekatan kekerasan.

DASAR ASING AS

Sebelum ini dasar asing AS tidak lari daripada melakukan percubaan untuk menukarkan kepimpinan di sesebuah negara baik secara rahsia atau terang-terangan bagi menyelesaikan krisis dengan menggantikan pemimpin negara musuh.

Ia pertama kali berlaku di Amerika Latin apabila Agensi Perisikan Pusat (CIA) memainkan peranan terutamanya semasa Perang Dingin dalam kejadian rampasan kuasa tentera yang bertujuan untuk menggulingkan presiden yang berfahaman sayap kiri di sesebuah negara.

Seawal tahun 1998, Presiden AS ketika itu, Bill Clinton daripada parti Demokrat menyatakan bahawa sepatutnya sudah menjadi dasar AS untuk menyokong usaha bagi menyingkirkan rejim yang diketuai oleh Saddam Hussein daripada terus berkuasa di Iraq.

Apabila George W Bush daripada parti Republikan menjadi Presiden AS pada tahun 2001, beliau dikelilingi dengan tokoh-tokoh neokonservatif sehingga kadangkala dicap sebagai penjaja perang yang kembali kepada campur tangan Amerika sebagai cara untuk mempromosikan model demokrasi.

Serangan 11 September 2001 yang berlaku ketika AS di bawah kepimpinan Bush ketika negara berkenaan melaksanakan kempen memerangi keganasan telah membawa kepada kejatuhan rejim Taliban di Afghanistan dengan begitu cepat.

Setakat ini, AS masih belum menghantar tenteranya berperang dalam Perang Ukraine. - Foto AFP

Tidak lama selepas itu, Washington dan sekutu-sekutunya menyerang Iraq pada tahun 2003 dengan menggulingkan Saddam selepas secara salah menuduhnya menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran.

JATUHKAN REJIM PEMERINTAHAN NEGARA LAIN

Di Libya pula, campur tangan pada tahun 2011 oleh Washington dan sekutu Eropahnya secara rasmi untuk melindungi para pemberontak selepas mereka mengangkat senjata bagi menentang pemimpin negara tersebut, Muammar Gadaffi yang kemudian dibunuh oleh warganya sendiri.

Di Afghanistan, Iraq dan Libya, objektif utama untuk menjatuhkan rejim pemerintahan di negara-negara berkenaan telah dapat dicapai.

Namun, matlamat bagi menstabilkan negara yang mengalami perubahan rejim pemerintahan itu pula berakhir dengan kegagalan.

Ini berlaku di Iraq apabila kumpulan Daesh mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan Iraq pada pertengahan 2010-an apabila berjuang di negara tersebut.

Pencerobohan hampir dua puluh tahun tentera AS di Afghanistan berakhir dengan kegagalan apabila askar-askar Uncle Sam berundur dari negara berkenaan pada Ogos tahun lalu dan menyebabkan rejim Taliban kembali berkuasa.

Libya pula masih tidak terlepas daripada kekacauan selama sedekad.

Namun, tanpa pilihan ketenteraan, AS gagal dalam cita-citanya kerana ketika di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, Washington mahu memaksa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berundur daripada kekuasaan melalui kempen sekatan antarabangsa tetapi rancangan tersebut berakhir dengan kegagalan.

Sarah Kreps iaitu seorang profesor sains politik di Universiti Cornell, AS memberitahu AFP tentang kenapa AS tidak mahu mengubah kepimpinan di Rusia.

"Pembuat dasar yang paling properang nampaknya telah belajar daripada hasil dasar luar (AS) dalam beberapa dekad yang lalu.

"Ketidakstabilan di Libya, Iraq dan Afghanistan cukup buruk tetapi ketidakstabilan di negara yang mempunyai beribu-ribu senjata nuklear (Rusia) akan menjadi satu mala petaka," katanya kepada AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca