TANGGAL 20 Mei diperingati sebagai Hari Lebah Sedunia disebabkan kepentingannya. Lebah boleh didapati di setiap benua, iaitu di setiap habitat planet yang ada tumbuhan berbunga kecuali di Antartika. Terdapat kira-kira lebih 16,000 spesies... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 20 Mei diperingati sebagai Hari Lebah Sedunia disebabkan kepentingannya. Lebah boleh didapati di setiap benua, iaitu di setiap habitat planet yang ada tumbuhan berbunga kecuali di Antartika.

Terdapat kira-kira lebih 16,000 spesies lebah dikenal pasti dalam tujuh keluarga biologi diiktiraf. Umumnya, lebah merupakan serangga yang ditakuti oleh kebanyakan orang kerana sengatannya yang sangat menyakitkan.

Apa kegunaan atau fungsi lebah bagi manusia? Selama berabad, lebah telah memberi manfaat bagi manusia, tumbuhan dan alam sekitar.

Seperti serangga lain, fungsi utama atau perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh lebah adalah pendebungaan.

Lebah sangat penting dalam ekosistem kerana banyak spesies tanaman memerlukan serangga ini untuk membiak. Seperti tumbuh-tumbuhan, manusia memerlukan lebah untuk melakukan pendebungaan dalam membantu pengeluaran makanan.

Pendebungaan adalah proses pemindahan debunga dari anter ke stigma. Proses ini penting bagi memastikan kejayaan persenyawaan pokok dan seterusnya untuk kemandirian spesies tumbuhan.

Melalui proses ini dianggarkan 60 peratus buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada sekarang dapat dihasilkan.

Hakikatnya, sebanyak 50-90 peratus diet manusia berdasarkan tumbuhan, jika serangga seperti lebah tidak menjalankan fungsi pendebungaan ini dalam ekosistem, maka semua sayur-sayuran, buah-buahan termasuk beras dan roti tidak akan ada lagi dalam menu harian manusia.

Oleh itu, jika kita kehilangan semua serangga termasuk lebah, semua manusia di planet bumi ini akan dilanda kebuluran, kerana 85 peratus daripada semua tumbuhan di bumi berkembang biak melalui proses pendebungaan, misalnya buah tomato dan epal.

Kajian lepas juga membuktikan bahawa lebah dan kumbang merupakan agen pendebungaan utama bagi pokok halia.

AGEN PENDEBUNGAN

Lebah juga adalah agen pendebungaan terbesar bagi kapas yang penting dalam industri tekstil.

Tanpa lebah, industri kapas yang bernilai 420 bilion akan merosot dan lenyap.

Bijian minyak seperti kanola dan bunga matahari menghasilkan minyak sayuran yang hanya diperoleh melalui pendebungaan oleh lebah.

Bijian minyak ini turut merupakan sumber protein utama kepada haiwan ternakan seperti lembu yang membantu ternakan ini membesar dengan baik dan sihat seterusnya membekalkan daging yang banyak kepada manusia.

Justeru, pemahaman tentang kepentingan serangga sebagai agen pendebungaan membuktikan lebah antara barisan hadapan agen pendebungaan.

Madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah merupakan satu produk tempatan popular yang dapat menjanakan pendapatan lumayan pada masa kini.

Penghasilan madu lebah turut menjadi sumber makanan dan produk lain seperti lilin dan ubat gigi propolis.

Impak daripada permintaan yang tinggi di pasaran tempatan, ia juga dieksport ke pasaran antarabangsa dan secara tidak langsung ia menyuntik kesan positif terhadap ekonomi negara selaras dengan hasil penjualan produk tersebut.

Hakikatnya, lebah mempunyai peranan unik dalam ekosistem iaitu dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar.

Jika kita membunuh serangga ini sewenang-wenangnya, ekosistem kita akan menjadi tidak seimbang dan akhirnya menjejaskan kemandirian haiwan dan tumbuh-tumbuhan lain.

Justeru, ramai saintis menggelar lebah sebagai spesies paling berharga di dunia, mengatasi plankton, kulat dan kelawar.

Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pakar semakin bimbang masalah yang menimpa populasi serangga seperti lebah disebabkan oleh tekanan kegiatan manusia.

Tanpa disedari, kita mungkin menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada kepupusan lebah yang memberikan banyak kepentingan kepada kita.

Ini termasuk kegiatan perindustrian, pertanian dan penggunaan racun perosak yang melampau, pencemaran dan perubahan iklim.

Maka, kita seharusnya berusaha untuk memperbaiki bagaimana berinteraksi dengan alam, bagi memastikan kita tidak merosakkannya secara berlebihan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca