SHAH ALAM - Peruntukan undang-undang berkaitan jenayah penipuan perlu digubal seiring dengan peredaran teknologi semasa bagi memberi lebih kuasa kepada pihak polis sekali gus memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peruntukan undang-undang berkaitan jenayah penipuan perlu digubal seiring dengan peredaran teknologi semasa bagi memberi lebih kuasa kepada pihak polis sekali gus memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku yang terlibat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, peruntukan undang-undang sedia ada kurang berkesan dalam menangani jenayah penipuan dalam talian.

"Undang-undang utama dalam menangani jenayah penipuan terletak di bawah Seksyen 415 hingga Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Seksyen yang kerap digunakan adalah Seksyen 420 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

"Bagaimanapun, takrifan 'menipu' dalam undang-undang ini merujuk kepada penipuan pertemuan secara bersemuka antara mangsa dan penipu,” katanya.

Arjunaidi - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara eksklusif bersama Ketua Polis Selangor di Studio C Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.

Arjunaidi memberitahu, takrifan menipu dalam undang-undang sebelum ini digubal ketika belum ada kes melibatkan penipuan dalam talian.

"Jadi apabila peruntukan ini dikenakan, ia sekali gus merupakan satu cabaran untuk kita mengatasi masalah melibatkan kes penipuan ini kerana peruntukan undang-undang sedia ada tidak seiring dengan peredaran zaman.

"Justeru itu, bagi menangani dengan lebih berkesan jenayah ini, perlu digubal satu peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan berkaitan jenayah penipuan dalam talian sekali gus lebih memudahkan beban pembuktian untuk mendakwa penjenayah dalam talian ini,” ujarnya.

Menurut beliau, dengan penggubalan undang-undang ini juga ia memberi kuasa yang lebih luas kepada pihak berkuasa khususnya polis dalam menguatkuasakan undang-undang dengan lebih berkesan.

"Ia akan memberi kuasa yang lebih luas kepada pihak polis untuk menangkap, menyiasat dan mendakwa dalang penjenayah yang bersembunyi di belakang keldai akaun.

"Saya berpandangan undang-undang yang lebih tegas juga perlu digubal bagi menghukum sindiket yang merekrut dan menjadi ejen keldai akaun,” katanya.

Arjunaidi berkata, dari Januari hingga Mac lalu terdapat 966 kes jenayah penipuan di negeri ini.

Kemajuan pembangunan negara perlu seiring dengan undang-undang terkini.


"Daripada jumlah itu, sebanyak 731 kes adalah kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM46 juta, berbanding dengan 235 jumlah kes penipuan secara bersemuka iaitu lebih kurang 75.67 peratus.

"Kita dapat lihat kes penipuan dalam talian amat membimbangkan. Jika tidak dibanteras, ia akan memberi kesan negatif kepada ketenteraman awam dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, ia meliputi kes-kes penipuan seperti menawarkan pelaburan atau pinjaman yang tidak wujud, love scam, macau scam, phone scam, serta pembelian, penjualan atau perkhidmatan tidak wujud.

Menurutnya, walaupun jenis penipuan ini berbeza-beza tetapi asas modus operandi adalah sama iaitu scammer menggunakan medium sosial seperti WhatsApp, Telegram, WeChat dan Facebook untuk berhubung dan memperdaya mangsa.

"Sindiket ini mengelakkan perjumpaan secara bersemuka manakala untuk pembayaran mereka memanipulasi kelemahan sistem perbankan,” katanya

Klik di sini untuk terus membaca