SHAH ALAM - Siasatan membabitkan kes penipuan dalam talian sememangnya mengambil masa dan ia bukan disebabkan kerenah birokrasi melibatkan pihak polis dan bank semata-mata.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Nazri Mohd Noor berkata, proses tersebut perlu mengikuti prosedur tertentu secara teratur sebelum pendakwaan boleh dilakukan.
Menurutnya, kes penipuan dalam talian biasanya akan dirujuk kepada pihak polis dan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Penipuan scammer selalunya akan dirujuk kepada bahagian penipuan kewangan BNM dan boleh disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.
"Untuk tujuan pendakwaan ia perlu lihat kepada akta berkaitan.
"Begitu juga serbuan untuk mendapatkan bahan-bahan bukti sebelum dibawa untuk pendakwaan di mahkamah. Itu menyebabkan berlaku kelewatan dari segi siasatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Nazri berkata, proses pendakwaan sama ada cepat atau lambat bergantung kepada pengumpulan bahan bukti dan kerjasama semua pihak.
"Penyelesaian untuk percepatkan proses itu bergantung kepada prosedur, perbincangan dengan BNM disusuli pengumpulan bukti dan akhirnya pendakwaan.
"Jadi proses itu yang memakan masa, ia bukan soal cepat atau lambat. Buat laporan, terus tangkap,” ujarnya.
Tambah beliau, bukti yang lengkap akan membolehkan sesuatu pertuduhan dapat dibawa ke mahkamah dan disabitkan kesalahan ke atas individu terlibat.
"Bukti kukuh akan menjadikan sesuatu pendakwaan itu berjaya,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca