SHAH ALAM - Kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk penggal 2022-2025 selepas tempoh pencalonan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu tamat jam 11.59 malam... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk penggal 2022-2025 selepas tempoh pencalonan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu tamat jam 11.59 malam Isnin, memang sudah diramal.

Ini kerana tiada seorang pemimpin sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) mahu pun PKR sendiri termasuk bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli mahu pun Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mampu menyaingi kehebatan dimiliki oleh mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Tambahan pula, Rafizi dan Saifuddin amat memerlukan pengaruh serta sokongan Ketua Pembangkang itu untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti, bulan depan.

Berikutan itu, tidak hairanlah jika Anwar menjadi calon tunggal untuk mempertahankan jawatan Presiden PKR.

Penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, secara realistik tiada siapa pemimpin dalam PKR berani tampil mencabar kedudukan dan kewibawaan serta karisma Anwar.

"Antara punca utama Anwar mampu mengekalkan status quo sebagai Presiden PKR adalah kerana ramai pemimpin berpengaruh seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin sudah meninggalkan parti.

"Malah di Malaysia amat jarang sekali berlaku insiden di mana jawatan Presiden dicabar dalam pemilihan parti. Saya fikir mereka masih mempunyai penghormatan tinggi terhadap Anwar institusi presiden parti," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

DR JENIRI


Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan turut senada, kedudukan Anwar sebagai Presiden PKR sukar digugat selepas Mohamed Azmin bertindak melompat keluar dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020.

"PKR sinonim dengan Anwar dan seperti kita tahu individu paling dekat boleh mencabar beliau adalah Timbalannya sendiri iaitu Mohamed Azmin tetapi beliau sudah meninggalkan PKR," katanya.

Mengulas lanjut Azmi berkata, pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR kali ini dilihat lebih terbuka berikutan tindakan Anwar yang mengambil sikap berkecuali dan tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana calon bertanding.

"Kalau dulu kita lihat Anwar lebih menyokong Rafizi sebab itulah Azmin cukup marah. Bagaimanapun, sekarang Anwar lebih bersikap terbuka dan neutral serta tidak menyokong kedua-dua calon berkenaan kerana mereka adalah penyokong tegarnya.

"Bagaimanapun, kelebihan berpihak kepada Saifuddin kerana beliau memegang jawatan Setiausaha Agung PKR, seorang setia dengan parti dan Anwar berbanding Rafizi yang sudah bercuti lama. Justeru itu, peluang Rafizi untuk memang dan menarik sokong ahli dan pemimpin PKR di peringkat akar umbi agak sukar," katanya.

Beliau juga menjangkakan saingan merebut jawatan Naib Presiden sengit kerana ramai calon havyweight yang bertanding. Klik di sini untuk terus membaca