SHAH ALAM - Segala teka teki mengenai jawatan apa akan ditandingi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, terjawab selepas pemimpin yang terkenal dengan jolokan ‘Puteri Reformasi’ itu mengumumkan tidak akan bertanding mana-mana kerusi dalam pemilihan Parti keadilan Rakyat (PKR) kali ini.
Bagaimanapun, Nurul Izzah yang juga bekas Naib Presiden PKR berbuat demikian kerana mahu memberi tumpuan membantu parti menarik pengundi atas pagar.
"Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi – saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.
"Berikan saya ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya. Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah menzahirkan terima kasih kepada semua ahli PKR yang memberikan sokongan penuh kepadanya semasa dia bertanding dalam pemilihan tiga penggal lalu.
Nurul Izzah menjelaskan beliau mengambil keputusan meletak jawatan pada 2018 adalah kerana kecewa dengan pengkhianatan dalaman yang berlaku dalam PKR.
"Disember 2018, saat peletakan jawatan saya adalah apabila kita telah pun membujur lalu melintang patah, sampai di Putrajaya, namun pasrah di pertengahan jalan akibat pengkhianatan dalaman. Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan kepada bahang khianat yang jelas dirasakan sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku.
"Peletakan jawatan tersebut bukanlah titik noktah akhir perjuangan di dalam parti. Sebaliknya ia merupakan langkah introspeksi mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi,” katanya.
Nurul Izzah juga menegaskan biarpun tidak bertanding dalam pemilihan kali ini, namun beliau akan terus menyokong rakan seperjuangannya dengan penuh semangat setia kawan.
"Meski, saya tidak terlihat di dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendukung rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setia kawan. Moga-moga KEADILAN mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.
"Sudilah juga bersama saya sedang kami mengorak langkah dari Permatang Pauh ke Johor Bahru, kemudian singgah di Pensiangan sebelum ke Labuan (memandangkan saya masih dihalang daripada bertandang di Bumi Kenyalang). Sertai Jelajah Ayuh Malaysia. Kita dengarkan bersama suara rakyat yang sentiasa tersemat sebagai suara keramat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca