SHAH ALAM - Satu peruntukan baharu dalam kanun keseksaan berkenaan penipuan dalam talian perlu diwujudkan dengan segera memandangkan jenayah tersebut semakin berleluasa di negara ini.
Ketua Jabatan Siasatan, Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, ia bagi memudahkan pihak penguat kuasa membuat pengesanan dan juga scammer tidak mengambil peluang terhadap kelompongan yang ada.
Menurutnya, undang-undang yang ada kini merupakan satu akta yang telah lama dan sukar untuk membanteras mengesan pelaku kegiatan tersebut.
"Undang-undang berkenaan ini telah terlalu lama untuk kita gunakan dalam keadaan masa kini. Jadi, pada masa sekarang, penipuan dalam talian ini adalah majoriti atau lebih besar dari penipuan secara bersemuka.
"Kalau penipuan bersemuka, ia mudah untuk dikesan sebab boleh buat pengecaman mangsa. Bukti boleh digunakan di mahkamah. Tetapi bagi scammer dalam talian ini, ia agak susah kerana dari segi pentafsiran undang-undang ada masalah.
"Jadi, saya berpandangan, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama duduk, pihak polis dan berkenaan untuk kita melihat, menilai serta mengkaji. Kalau boleh untuk mengadakan satu peruntukan baharu dalam kanun keseksaan khas tentang penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar edisi ke-337 yang bertajuk Scammer membarah, Salah Siapa Sebenarnya? Yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Ahli Psikoterapi, Meg Richy Consultancy, Meg Rich; Profesor Sains Komputer, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr Norita Md Norwawi manakala Ismail Adnan Selaku moderator.
Menurut beliau, sekiranya usaha tersebut tidak dilakukan dengan segera, perbuatan tersebut akan mengakibatkan lebih banyak mangsa kerana modus operandi yang digunakan mengikut teknologi semasa.
Tambah beliau, semua pihak juga perlu bergerak secara bersepadu dalam membanteras gejala tersebut.
"Tiba masanya kita gerak secara bersepadu dalam menangani masalah ini. Kita tidak boleh bergerak secara sendiri. Kita kini memang sedang bergerak ke arah itu. Usaha ini mesti ditingkatkan,” ujarnya.