SHAH ALAM - Ciri-ciri keselamatan dalam perisian sumber terbuka (OSS) perlu dipertingkatkan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Pensyarah Sains Komputer, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Norita Md Norwawi berkata, masyarakat perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan perisian atau muat turun aplikasi secara percuma.
"Saya tidak kata ia tidak selamat, tetapi mungkin ciri-ciri keselamatan itu masih perlu dipertingkatkan.
"Bagaimanapun, kita juga perlu berhati-hati dengan perisian berbayar kerana kadang-kadang ia dijadikan sebagai satu umpan untuk mendapatkan data atau mungkin untuk mengambil alih komputer kita.
"Jadi kena belajar bagaimana untuk mempertingkatkan keselamatan komputer riba dan telefon pintar supaya maklumat kita terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-337 yang bertajuk 'Scammer Membarah, Salah Siapa Sebenarnya?' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali dan Ahli Psikoterapi, Meg Richy Consultancy, Meg Richy manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Norita berkata, masyarakat dinasihatkan supaya mempunyai pengetahuan dan kesedaran dalam bidang teknologi untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
"Perlu ada pihak yang mengajar bagaimana cara untuk menggunakan alatan ini, kadang kala kita malas nak pasang antivirus atau mengetatkan sistem keselamatan kerana penggunaannya yang lebih sulit.
"Alatan ini bagus tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk didik pengguna agar menggunakannya sebagai satu langkah keselamatan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca